Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd, Datuk Norashikin Taib (empat kiri) bersama pegawainya di Perdana Hotel Kuala Lumpur ketika selesai sidang media mempromosi kuota bumiputera menjelang Pameran BPEX 2022.

KUALA LUMPUR – Bumiputera Property Exhibition (BPEX) akan menawarkan 8,000 unit rumah serendah RM250,000 sempena pameran yang diadakan di Mid Valley Exhibition Centre di sini pada 1 dan 2 Oktober ini.

Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd, Datuk Norashikin Taib berkata, sebagai penganjur, pihaknya sebagai memberi kesedaran terutama kepada bumiputera tentang kepentingan pemilikan rumah.

“Tujuan kita untuk membantu BPEX dalam mempromosi lot-lot bumiputera di mana pemaju sekitar Kuala Lumpur diberikan syarat untuk membangunkan rumah dengan peruntukan 30 peratus buat bumiputera dan Selangor pula 60 peratus,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Norashikin, sebanyak 8,000 unit kuota bumiputera bernilai hampir RM6 bilion itu membabitkan 5,000 unit dari pemaju sekitar Selangor.

Katanya, baki tersebut akan dipenuhi oleh pemaju di Kuala Lumpur bagi memeriahkan pameran yang telah dianjur sejak 15 tahun lalu.

Pameran BPEX Satu Rumah, Satu Keluarga Bumiputera Malaysia 2022 itu akan dirasmikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Jelas Norashikin, pameran yang bermula pukul 11 pagi hingga 9 malam akan melibatkan pelbagai agensi berkaitan perumahan yang menawarkan inisiatif membantu bumiputera dengan harga rumah paling tinggi mencecah RM1.6 juta.

“Kita nak dedahkan mengenai Skim Rumah Pertamaku, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), Skim Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang kesemua ini membawa aspirasi kerajaan membantu golongan tersebut,” ujarnya.

Norashikin menjangkakan pameran yang dibuat secara fizikal itu menerima kehadiran sekitar 10,000 pengunjung setelah dua tidak dapat dianjur berikutan pandemik Covid-19.

Sebagai rekod, BPEX 2022 akan mendapat sambutan oleh pemaju terkemuka seperti PKNS, IJM Corporation Berhad, UEM Sunrise dan OCR Group Berhad.

Ia menawarkan pilihan hartanah buat bumiputera dengan harga promosi sehingga 15 peratus termasuk subsidi percuma perjanjian jual beli dan setem duti. – MalaysiaGazette