Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersama timbalannya, Datuk Kamarudin Jaafar bercakap pada sidang media selepas Majlis Anugerah Cemerlang (APC) 2021 dan Jasamu Dikenang Tahun 2022 di Wisma Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Wisma Putra sedang mengesan dan mengenal pasti kira-kira 30 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penipuan skim pekerjaan di Kemboja.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, usaha mengesan kini sedang giat dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa negara berkenaan.

“Ada lebih kurang 30 (warga Malaysia) yang belum dapat dikesan dan kita bekerjasama dengan pihak berkuasa di Kemboja. Kita berterima kasih dengan Perdana Menteri (Kemboja), Hun Sen secara peribadi memberi arahan kepada pihak berkuasa Kemboja untuk diadakan gerak kerja besar-besaran,” katanya pada sidang media di Kementerian Luar Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Wisma Putra berjaya menyelamat dan membawa pulang seramai 24 rakyat Malaysia dengan penerbangan AirAsia AK539 di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2  Jumaat lalu.

Kesemua 24 individu itu merupakan mangsa penipuan sindiket pekerjaan dan pelancongan di Kemboja sejak dua bulan lalu.

Awal Ogos lalu, pihak berkuasa Kemboja telah membuat operasi secara besar-besaran untuk memerangi sindiket pemerdagangan manusia, penipuan perjudian dan pekerjaan di wilayah Sihanoukville, Kemboja.

“Itu yang kita dapat selonggok 53 orang dalam satu jangka masa yang pendek,” jelasnya.

Saifuddin juga tidak menafikan Kemboja bukan satu-satunya negara yang berlakunya sindiket penipuan pekerjaan membabitkan warganegara Malaysia.

“Memang tahun ini nampaknya angka itu berlipat ganda daripada biasa. Isu ini berlaku sebelum ini dan bukan hanya di Kemboja malah ada juga di beberapa negara lain.

“Kebetulan angka di Kemboja itu tinggi dan (berlaku) pada tahun ini,” katanya.

Tambahnya, operasi menyelamat itu dilakukan susulan laporan yang diterima pihaknya daripada keluarga mangsa.

“Lebih kurang 148 laporan yang kita terima tentang mereka yang berkemungkinan besar menjadi mangsa. Laporan ini datang daripada anggota keluarga.

“Seramai 118 sudah kita selamatkan dan terbaru 53 orang dan 24 dari jumlah itu balik sekali dengan saya beberapa hari lepas. 29 orang lagi masih di Depoh Phnom Penh dan Sihanouk Ville. Mereka haruslah melalui siasatan, tapisan dan sebagainya.

“Kita harap mereka semua dapat balik segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast