Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri belum mendapat gambaran jelas mengenai projek pembinaan tiga kapal peronda pesisir pantai (OPV) yang belum diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia).

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau hanya mendapat maklumat mengenai kapal itu akan siap dalam masa terdekat.

“Kita dimaklumkan (kapal OPV) dalam pembinaan dan sepatutnya siap beberapa dalam masa terdekat. Sepatutnya siap dalam waktu terdekat. Jadi kita tunggu.

Saya tak dapat gambaran details (terperinci) lagi pasal OPV,” katanya ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan mengenai kelewatan siap kapal OPV.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Program Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Stadium Pavillion Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, setakat ini, belum ada siasatan dilakukan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap projek pembinaan tiga kapal peronda pesisir pantai (OPV).

Ujarnya, terserah kepada PAC jika perlu untuk memanggil mana-mana pihak daripada jabatan, agensi kerajaan mahu pun kementerian.

“PAC satu badan bebas seperti diketuai oleh ahli-ahli Parlimen mewakili kerajaan dan pembangkang. (PAC) dipengerusikan oleh pembangkang. Kalau ada isu kaitan (untuk) dapat penjelasan oleh PAC, terserah pada PAC,” katanya lagi.

Pada 2 September lalu, PAC digesa menyiasat projek pembinaan tiga kapal OPV yang belum diterima Maritim Malaysia.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan mendedahkan timbul tanda tanya mengenai status tiga kapal OPV Maritim Malaysia yang masih belum diterima.

Agensi itu sepatutnya menerima sebuah kapal OPV pada Ogos lalu selepas kerajaan memberi lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat TH Heavy Engineering Berhad (TH Heavy) untuk menyiapkan tiga kapal OPV berkenaan.

Sementera itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, kontrak untuk membina kapal-kapal tersebut diberikan kepada TH Heavy dan kapal sepatutnya diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 2020 secara berperingkat.

Bagaimanapun, katanya, beliau dimaklumkan projek pembinaan itu bernilai RM738.9 juta dan daripada jumlah itu, sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan namun tiada kapal yang diterima oleh Maritim Malaysia. – MalaysiaGazette