KUALA LUMPUR – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah berkenan menganjurkan jelajah berbasikal sambil beramal sempena sambutan Hari Malaysia 2022 baru-baru ini.
Program Jelajah Selangor 600 itu telah melalui sembilan daerah di Selangor melibatkan jarak 600 kilometer bermula pada 6 September lalu di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan berakhir di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya.
Tujuan jelajah berbasikal sambil beramal yang telah dianjurkan sebanyak dua kali sejak 2020 hasil ilham Raja Muda Selangor sebagai salah satu inisiatif baginda untuk mendekati rakyat dan membantu komuniti yang memerlukan sepanjang 5 hari program berlangsung.
Selain itu,peserta berpeluang menjelajah secara berbasikal ke tempat-tempat menarik sekitar Selangor seperti kawasan sawah padi, lokasi bersejarah, kilang kopi Selangor dan perkampungan Orang Asli, kata satu kenyataan.
Jelajah Selangor 600 ini juga berteraskan aspek pembangunan belia dengan mengetengahkan barisan atlet muda berbasikal iaitu Muhamad Qayyim Bin Mohd Saipul Anuwai; Zamirul Azrezza Bin Zulkefli; Muhamad Iqbal bin Zuraini; dan Muhammad Adam Haiqal Bin Mohd Shairul Faizal.
Di bawah aspek komuniti pula, terdapat lebih enam pusat komuniti yang diberikan bantuan dalam pelbagai bentuk seperti barangan keperluan, set hidroponik, kelengkapan sukan dan juga set komputer sepanjang lima hari jelajah.
Antara pusat kebajikan yang menerima sumbangan adalah Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Baitul Barokah Wal Mahabbah di Sepang, Asrama Baitul Rahmaniah di Hulu Selangor, Pusat Kebajikan Warga Emas (Cina) dan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Sabak Bernam, Pertubuhan Kebajikan Ehsan As-Shakur dan Pertubuhan Kebajikan Ephrata di Rawang.
Pada hari terakhir Jelajah Selangor 600 pada 10 September lalu, peserta bersama-sama Raja Muda Selangor telah berkenan memberikan sumbangan kepada beberapa pertubuhan kebajikan di sekitar Rawang.
Antara bantuan yang disampaikan adalah sumbangan wang dan barangan bernilai RM20,000 untuk rumah-rumah yang dipilih, tajaan daripada Selangor Youth Community (SAY), Yayasan Raja Muda Selangor dan Worldwide Holdings Berhad. – MalaysiaGazette