KOTA KINABALU – Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah berkolaborasi dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menjayakan rakaman rancangan hiburan Busking Negaraku bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia 2022.

Menurut Penerbit Rancangan, Florence John Luan, rakaman rancangan berlangsung di Galeri Azman Hashim UMS (GAH-UMS) melibatkan persembahan daripada artis-artis Sabah dan dihadiri seramai 30 pelajar UMS berasal daripada 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan serta rakan strategik dari Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR).

”Rancangan hiburan Busking Negaraku terbitan RTM Sabah ini menampilkan kumpulan Masmona Buskers bersama penyanyi jemputan Arddley Nicholas yang baru sahaja dinobatkan sebagai Vokal Terbaik Lelaki AIM23 dan Dabra Sia, juara Sugandoi Kaamatan 2019.

”Antara lagu yang dibawa ialah Gemuruh, Standing in the Eyes of the World, Menang Bersama, Sabah Ginawoku, Malaysia Bangga, Saya Anak Malaysia dan Teguh Bersama Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rancangan Busking Negaraku dikendalikan gandingan pengacara Enn Xaviera dan Felix Agus berlangsung selama satu jam ini disiarkan pada 14 September 2022 pada pukul 10 malam di TV1 dan siaran ulangan di TV Okey pada 18 September 2022 pukul 10.30 malam.

Sementara itu, Pengarah GAH-UMS, Dr. Mohammad Puad Bebit berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak RTM Sabah yang telah memilih GAH sebagai lokasi rakaman program ini.

Ujarnya lagi, GAH-UMS sememangnya mengalu-alukan program sebegini daripada pihak luar dan industri untuk berkolaborasi yang dapat mengeratkan hubungan kerjasama, selain dapat mempromosikan GAH-UMS sebagai lokasi pelancongan baharu di UMS. – MalaysiaGazette