Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga kiri) bersama Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kanan) serta Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran (kiri) hadir ke perasmian Briged MIC Kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Briged MIC Kebangsaan diharap menjadi tonik tambahan bangi membantu parti itu dan Barisan Nasional (BN) menang pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tugas briged yang dianggotai pergerakan Wanita dan Pemuda MIC perlu proaktif di setiap kawasan agar untuk menambah bilangan pengundi baharu India.

“Langkah pemimpin MIC menubuhkan Briged MIC sejajar dengan tuntutan perkembangan politik semasa, terutamanya dengan pelaksanaan Undi 18 yang memberi hak mengundi kepada hampir empat juta pengundi baharu berusia 18 tahun dan ke atas.

“Saya berharap penglibatan golongan pemuda dan wanita secara aktif dalam Briged MIC mampu meningkatkan pengetahuan pemuda-pemudi tentang politik dan mampu melahirkan Masyarakat India yang lebih berpengetahuan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Briged MIC kebangsaan, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah beliau, Briged MIC Kebangsaan merupakan inisiatif yang baik bagi menyantuni golongan muda India dengan memberi panduan dan bimbingan dalam mencapai potensi kehidupan.

Menurut Ismail Sabri, melalui inisiatif itu MIC dapat membantu mengawal dan mengurangkan penglibatan golongan muda India terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat.

Sementara itu, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa komuniti India tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.

Katanya, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sosioekonomi India (JKMPSI) yang dipengerusikan olehnya.

“Ini membuktikan Keluarga Malaysia berbangsa India amat penting dalam pentadbiran saya demi meningkatkan taraf hidup sejajar dengan matlamat Kerajaan menjadi Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Malah saya juga telah menerima cadangan MIC dan bersetuju untuk meletakkan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri berbanding sekarang di bawah Kementerian Perpaduan Nasional dan juga bersetuju untuk menubuhkan Yayasan MITRA.

“Justeru tanpa tunggu dalam Bajet 2023 Oktober ini, saya juga meluluskan hari ini RM2 juta peruntukan khas untuk pelajar miskin tegar golongan India,” ujarnyanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang merakamkan ucapan takziah kepada MIC di atas pemergian Tun S .Samy Vellu berharap ahli dan belia MIC meneruskan legasi yang ditinggalkan mendiang  dengan berbakti kepada negara. – MalaysiaGazette