SEREMBAN – Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) bukan tempat untuk ahli-ahli parti itu berebut kerusi dan menonjol diri menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad sebaliknya menegaskan, konvensyen selama dua hari itu perlu ditunjukkan kepada rakyat di luar bahawa Amanah prihatin dengan masalah yang menimpa mereka.
Jelas beliau, apa yang penting, keyakinan parti untuk menyelamatkan negara ini daripada terus dirosakkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Kita hendak tunjuk kepada rakyat di luar, konvensyen kita bukan tentang perebutan kerusi dan calon, tetapi apa yang kita ingin tonjolkan adalah kecaknaan kita kepada rakyat.
“Keyakinan kita untuk menyelamatkan negara dari terus dirosakkan oleh BN dan PN. Kita perlu yakin, kita perlu realistik dengan situasi terkini yang telah dan sedang berlaku. Strategi yang terbaik perlu kita jelmakan dengan kebijaksanaan pimpinan, mohon perwakilan menaruh sepenuh kepercayaan kepada parti.
“Kita nak tunjuk kepada rakyat di luar, konvensyen kita bukan tentang perebutan kerusi dan calon, tetapi apa yang kita ingin tonjolkan adalah kecaknaan kita kepada rakyat. Keyakinan kita untuk menyelamatkan negara dari terus dirosakkan oleh BN dan PN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Konvensyen Nasional Amanah di sini hari ini.
Khalid yang juga bekas menteri Kabinet pada zaman Kerajaan Pakatan Harapan menambah, Amanah menyasarkan untuk menjatuhkan Pas di Kelantan dan UMNO di Pahang.
Jelas beliau, sasaran adalah dengan menumbangkan Barisan Nasional dengan merampaskan semula Putrajaya pada PRU15.
“Jadi berikan kepercayaan kepada pimpinan untuk merangka strategi yang membolehkan Kelantan jatuh ke tangan kita.
“Di Persekutuan, berikan juga kepercayaan kepada pimpinan untuk menyusun strategi bagi menjatuhkan BN dan PN,” katanya. – MalaysiaGazette