Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2024 di Hotel Marriot, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022 hingga 2040 dilancarkan bertujuan mengambilkira perkembangan serta cabaran demi memastikan sektor tenaga dapat terus membangun dengan mampan, kata Perdana Menteri.

“DTN juga akan memperkemas dan mengharmoni pelbagai dasar berkaitan tenaga sedia ada bagi memastikan sektor ini terus kalis cabaran pada masa hadapan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas merasmikan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 di sini hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Tambah Ismail Sabri, visi DTN adalah jelas dengan misi Kemampanan Tenaga untuk Mencapai Kemakmuran Bersama dan disokong dengan tiga objektif utama.

Pertama, menurutnya, meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga, kedua, mencapai kesaksamaan sosial menerusi mampu bayar tenaga dan ketiga, memastikan kelestarian alam sekitar.

DTN 2022-2040 yang dilancarkan hari ini juga antaranya menetapkan sasaran khusus bagi sektor tenaga iaitu Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040.

Ismail Sabri percaya inisiatif itu akan dapat dicapai dalam membantu mencapai aspirasi negara pada tahun 2050.

Ia jelas bagi menghadapi trend yang berlaku dalam peralihan tenaga dan menangani cabaran perubahan iklim.

“Aspirasi Rendah Karbon 2040 di bawah DTN mengandungi sembilan sasaran terpilih untuk dicapai pada tahun 2040 antaranya, pertama, perkongsian mod pengangkutan awam bandar sebanyak 50 peratus; kedua, penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebanyak 38 peratus.

“Ketiga, standard bahan api alternatif kenderaan berat dengan campuran bahan api B30, keempat, penggunaan gas asli cecair sebagai bahan api alternatif pengangkutan marin sebanyak 25 peratus.

“Kelima, penjimatan kecekapan tenaga oleh industri dan komersial sebanyak 11 peratus serta kediaman sebanyak 10 peratus,” katanya lagi.

Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040, kata Ismail Sabri, dijangka dapat meningkatkan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM13 bilion setahun dan mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu.

“Untuk mencapai visi dan objektif DTN, sebanyak 12 strategi dan 31 pelan tindakan dikenal pasti, berlandaskan empat teras strategik dan lima pemboleh daya untuk dilaksanakan bagi jangka pendek, sederhana dan panjang selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Lima Tahun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Majlis Tenaga Negara bagi menerajui hala tuju peringkat tertinggi membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga kerana strategi dan pelan tindakan DTN merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.

Majlis Tenaga Negara akan dipengerusikan oleh Ismail Sabri bagi memastikan inisiatif DTN dilaksanakan secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti dan peranan masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast