Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menjadi sasaran pemimpin Gerakan Tanah Air (GTA) selepas beliau membuat kenyataan menyamakan gerakan berkenaan dengan janji 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Selepas ‘diserang’ kepimpinan Putra Malaysia semalam, hari ini Puad menjadi sasaran Majlis Gerakan Tanah Air Malaysia (MGTAM).

Dalam kenyataan balas terbaharu, Ahli MGTAM, Syed Hassan Syed Ali menganggap Puad seperti orang demam kepialu kerana tidak tahu sejarah politik, lebih-lebih lagi penubuhan GTA.

“Puad ni demam kepialu kot? Bila masa GTA bertanding dalam pilihan raya hingga samakan dengan janji 100 hari PH? Kalau hendak tunjuk rajin serang Tun Mahathir Mohamad pun gunalah fakta yang betul.

“GTA baharu sahaja ditubuhkan. Belum pernah bertanding mana-mana pilihan raya pun. Eloklah Mohd Puad fokus menangkan semula kerusi Parlimen Batu Pahat yang dia kalah itu.

“Nak kritik Tun M pun tengoklah dulu rekod dia dulu. Dalam usia 93 tahun pun masih boleh menang PRU di kawasan baru Parlimen Langkawi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohd Puad yang menyamakan hala tuju GTA setaraf dengan janji 100 hari PH yang penuh penipuan dan gagal.

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu menyatakan, hala tuju GTA juga boleh disebut sebagai ‘janji 100 hari 2.0’.

Menurut Syed Hassan, GTA akan diterima dengan meluas dari kalangan orang Melayu.

Malah, katanya, NGO Melayu juga sudah banyak bersama memberi sokongan dan berada dalam jawatankuasa GTA di semua peringkat.

“Mohd Puad lebih baik tumpukan parti kamu yang sudah berpecah teruk itu. Berbeza dengan GTA telah membuktikan boleh menyatukan empat parti Melayu Islam dan Melayu di luar sana akan bersatu bersama GTA. – MalaysiaGazette