Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai menghadiri pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan prosiding rasuah penyewelengan dana Yayasan Akalbudi membabitkan  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menolak percubaan pembelaan untuk mengugat saksi utama kes itu hari ini.

Ini kerana beberapa kenyataan Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican bagi pembelaan hanya bertujuan menggoyah keterangan bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly iaitu saksi utama pendakwaan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah supaya pernyataan bertulis Fadzlette dipadam dan tidak dimasukkan sebagai keterangan kerana ia tidak relevan

Untuk makluman, Fadzlette merupakan bekas Setiausaha Akhbar kepada Ahmad Zahid ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dan kini merupakan  Pengarah Media Presiden UMNO telah dipanggil sebagai saksi pembelaan pada prosiding berkenaan.

Sepatutnya hari ini, mahkamah mendengar keterangan Fadzlette selepas Ahmad Zahid selesai memberikan keterangan bela diri sebagai saksi pembelaan pertama pada 30 Ogos lalu.

Ketika mahkamah mula bersidang, Raja Rozela membantah beberapa perenggan keterangan yang disifatkan tidak relevan atau membantu perbicaraan kes Ahmad Zahid.

Hujah Raja Rozela, keterangan tentang kredibiliti Mazlina kononnya yang tidak boleh dipercayai dan berat sebelah telah dibangkitkan begitu banyak kali sebelum ini.

Sebaliknya, katanya, pendakwaan sepatutnya keterangan perlu relevan dengan fakta malah mahkamah sebenarnya mempunyai kuasa mengajak keterangan dikemuka oleh pembelaan.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai perbicaraan yang melibatkan anak guamnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 SEPTEMBER 2022.

Peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan bagi membalas hujahan tersebut manakala Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan prosiding sehingga esok pagi bagi hujah bela.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk sedang berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Bekas Menteri itu telah diperintah membela diri atas semua pertuduhan itu pada 24 Januari selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette