SAN JUAN – Taufan Fiona yang melanda Pulau Puerto Rico telah menyebabkan bekalan elektrik terputus.
Pengendali grid pulau itu, Luma Energy berkata, gangguan itu berlaku ekoran angin kencang mencecah 140 kilometer sejam.
Taufan itu turut membawa hujan setinggi 2 kaki (0.6 meter) dan banjir besar bagi wilayah AS, ketika ribut kategori satu mendarat.
Presiden Joe Biden mengisytiharkan darurat untuk pulau itu, membolehkan pihak berkuasa memberikan bantuan bencana.
Luma Energy berkata, ia mungkin mengambil masa beberapa hari untuk memulihkan bekalan elektrik kepada populasi 3.3 juta orang di Pulau Caribbean itu.
Beberapa pusat kesihatan yang menggunakan penjana kuasa juga terjejas namun usaha membaiki generatir sedang giat dijalankan.
Pelabuhan telah ditutup dan penerbangan keluar dari lapangan terbang utama pulau itu juga telah dibatalkan.
Ini kerana, hujan lebat menyebabkan banjir kilat yang mengancam nyawa, kata Pusat Taufan Kebangsaan.
Gabenor Puerto Rico, Pedro Pierluisi berkata, sekolah awam dan agensi kerajaan akan ditutup pada Isnin.
Pada masa sama, beliau mengarahkan penduduk mencari perlindungan secepat mungkin.
Di Pulau Guadeloupe, Perancis, seorang terbunuh apabila rumahnya dihanyutkan banjir teruk.
Taufan Fiona telah melanda Puerto Rico, lima tahun selepas Taufan Maria yang paling teruk pernah berlaku dalam sejarah pulau itu.
Tiga minggu selepas bencana itu, hanya kira-kira 10% penduduk Puerto Rico mendapat bekalan elektrik semula.
Sehingga kini, grid negara ini masih kekal rapuh, dengan gangguan berlaku setiap hari. – Agensi