Wanita warga China, Jiang Jun Yin (kiri) didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan operasi klinik pergigian haram khusus untuk rawatan pemutihan gigi empat tahun lalu.

MELAKA – Padah menjalankan operasi klinik pergigian haram khusus untuk rawatan pemutihan gigi empat tahun lalu, seorang wanita warga China didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Jiang Jun Yin, 33, mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyediakan sebuah klinik pergigian swasta yang tidak berdaftar dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Kesalahan tertuduh yang sudah berkahwin dengan lelaki tempatan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Laksamana Cheng Ho, Melaka Tengah sekitar pukul 3.25 petang, 6 Disember 2018.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian dengan Majlis Pergigian Malaysia selain tidak berkelayakan menjalankan sebarang aktiviti pergigian.

Kegiatan tertuduh yang diwakili peguam, Jagdeep Kaur bagaimanapun berjaya dikesan pihak berkuasa selepas menjalankan perniagaan selama dua bulan khusus untuk rawatan pemutihan gigi.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Nozaizeli Abu Samah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Dalam hujahannya, beliau berkata, aktiviti pemutihan gigi yang dilakukan tanpa seliaan individu berkelayakan boleh memberi kemudaratan termasuk jangkitan kuman dan sebagainya.

Nariman pada penghakimannya kemudian menetapkan tertuduh didenda RM25,000 serta empat bulan penjara sekiranya gagal bayar. – MalaysiaGazette.