Sebahagian daripada kira-kira 200 penduduk Kampung Bertam Ulu, Bertam, Melaka terpaksa hidup dalam ketakutan ekoran diancam tanah runtuh akibat hakisan tebing sungai yang semakin serius sejak tahun lalu.

MELAKA – Kira-kira 200 penduduk Kampung Bertam Ulu, Bertam di sini terpaksa hidup dalam ketakutan ekoran berdepan dengan ancaman tanah runtuh akibat hakisan tebing sungai yang semakin serius sejak tahun lalu.

Lebih malang, ada penduduk yang bukan sahaja ‘kehilangan’ sebahagian daripada tanah apabila dihanyutkan arus deras air Sungai Bertam Ulu malah pondok di belakang rumah juga ‘lenyap’.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, hakisan tebing sungai setinggi hampir lima meter menyebabkan rumah penduduk ibarat ‘tergantung’ apabila hakisan membentuk ruang kosong di bawah yang berisiko runtuh pada bila-bila masa.

Mazlan Ling Hassan,

Salah seorang penduduk, Mazlan Ling Hassan, 60, mendakwa, keadaan itu menyebabkan dia, isteri serta tiga anaknya hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat apabila memikirkan rumahnya juga berisiko dihanyutkan arus deras sungai berkenaan.

“Memang setiap kali hujan lebat terutamanya waktu malam, saya akan terjaga dari tidur dan ke belakang rumah untuk melihat hakisan yang berlaku.

“Bayangkan, kira-kira 20 kaki tanah saya di belakang rumah selain separuh pondok di belakang rumah serta tanaman tebu dan tanaman lain habis dihanyutkan arus sungai menyebabkan saya kerugian lebih RM30,000,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Hakisan tebing sungai setinggi hampir lima meter menyebabkan rumah penduduk ibarat ‘tergantung’ apabila hakisan membentuk ruang kosong di bawah yang berisiko runtuh pada bila-bila masa.

Menurutnya, masalah itu pernah diadukan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) namun masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini walaupun bajet telah diluluskan.

Majid Md Ali

Pendapat sama turut disuarakan Majid Md Ali, 63, yang berkata, hakisan itu bukan sahaja membahayakan keselamatan kira-kira 30 buah rumah melibatkan hampir 200 penduduk, malah ribuan pengguna Lebuh SPA (Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh)

“Hakisan Sungai Bertam Ulu ini bertambah serius sehingga sungai yang dahulunya kecil semakin melebar ‘merebak’ ke Lebuh SPA di seberang kampung yang boleh membahayakan nyawa ribuan pengguna jalan raya.

“Kita menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan segera terhadap masalah ini yang berpunca daripada beberapa projek perumahan di bahagian hulu sungai menyebabkan limpahan air dari kolam takungan projek,” dakwanya lagi.

Roslan Hasan

Sementara itu Ahli Jawatankuasa (AJK) JPKK Kampung Bertam Ulu, Roslan Hasan berkata, masalah itu sudah diajukan ke pejabat Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Kawasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang dan kerja-kerja pembaikan tebing akan dijangka akan bermula hari ini.

“Kontraktor projek juga telah dilantik dan kerja-kerja pembaikan tebing akan bermula hari ini dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi bergantung pada keadaan cuaca.

“Kita akan memastikan isu ini dapat diselesaikan segera dan berterima kasih kepada pihak JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta penduduk kampung yang memberikan kerjasama sehingga masalah ini dapat diselesaikan,” katanya. – MalaysiaGazette.