Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Seri Alexander Nanta Linggi.

BENTONG – Sebanyak RM504,869 bagi telah dibelanjakan menerusi peruntukan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 bernilai keseluruhannya RM1 juta bagi tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 552 permohonan daripada 1,181 permohonan keseluruhan.

“Dana ini telah mendapat sambutan yang amat baik dalam kalangan usahawan dan baki permohonan masih disaring mengikut kriteria kelayakan pemohon.

“Bukan gagal, pihak MyIPO akan bantu supaya pemohon dapat memenuhi kriteria supaya mereka layak menerima dana,” katanya pada sidang media sejurus selesai program Belia Berinovasi: Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini hari ini.

Sehingga 15 September 2022, baki RM 495,130 masih dalam proses penyaringan melibatkan komponen harta intelek yang dimohon merupakan cap dagangan (300), paten (21), hak cipta (75), reka bentuk perindustrian (3) dan petunjuk geografi (2).

Menurut Alexander Nanta, program tersebut merupakan inisiatif MyIPO untuk memberi pendedahan awal dan komprehensif mengenai harta intelek kepada kumpulan sasar di sektor pendidikan iaitu guru dan pelajar.

Sementara itu sehingga kini seramai 1,465 usahawan berjaya memperoleh dana bagi permohonan cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, hak cipta dan petunjuk geografi terutamanya bagi sektor kosmetik dan pemakanan.

Terdahulu, kerajaan melalui MyIPO turut menawarkan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 dengan peruntukan RM4 juta bagi tempoh empat tahun bermula pada tahun 2022 hingga 2025 di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Dana IP 2.0 merangkumi pembiayaan bagi fi rasmi pemfailan harta intelek kepada MyIPO, kos carian dan penderafan oleh ejen paten yang dilantik oleh MyIPO bagi permohonan paten dan perbaharuan utiliti. – MalaysiaGazette