Menteri di Jabatan Perdan Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad bercakap pada sidang media berkaitan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganera Malaysia di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 20 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti mekanisme baharu dalam mesyuarat Kabinet esok termasuk cadangan menubuhkan satu jawatankuasa khas peringkat ASEAN bagi menangani jenayah rentas sempadan terutama melibatkan pemerdagangan manusia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata, kerajaan memandang serius isu tersebut khususnya melibatkan rakyat Malaysia yang dikerah menjadi ‘hamba abdi’ di Myanmar, Kemboja dan Laos.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) telah mengarahkan saya melihat perkara ini secara lebih mendalam dan juga berterima kasih beberapa NGO diketuai Tan Sri Musa Hassan dan Datuk Hishamuddin Hashim sehingga kita rasa terpanggil untuk membawa perkara ini.

“Jenayah ini melibatkan rakyat Malaysia dan pendekatan serius perlu diambil. Sejak sempadan dibuka pada 1 April, banyak laporan telah diterima daripada ahli keluarga yang dibuat kepada pihak polis dan NGO.

“Saya kuat berpendapat perkara ini akan dapat diselesaikan secara holistik apabila dibentangkan esok kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Abd Latiff, kerajaan melalui Wisma Putra juga telah mengadakan perbincangan proses untuk membawa pulang mangsa yang terkandas di negara yang terlibat namun Myanmar belum memberikan kerjasama.

Beliau juga memaklumkan rata-rata mangsa ramai yang terkandas di Myanmar membabitkan daerah Myawaddy dan sehingga semalam dilaporkan kira -kira 170 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di negara berkenaan.

Sementara itu, ditanya jika kerajaan akan mengambil pendekatan baharu untuk menyekat rakyat negara ini ke luar negara dan menjadi mangsa sindiket penipuan, Abd Latiff berkata, tiada punca kuasa yang boleh menyekat mereka.

Beliau berkata, biar pun hak memberikan pasport antarabangsa adalah hak kerajaan, rakyat juga berhak untuk mengembara ke luar.

“Itu hak mereka mengembara, walaupun dia hanya ada duit RM500. Seelok-eloknya pada masa akan datang mereka nak mengembara ke luar negara, beritahu kepada saudara mara atau ibu bapa tujuan nak pergi ke mana-mana negara.

“Tapi jika mereka ingin bekerja kita boleh semak dengan pelbagai agensi di kedutaan. Majikan Malaysia yang ada industri lain di negara luar amat banyak, jadi mereka boleh semak iklan-iklan itu adalah tepat dan sahih,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Guna platform ASEAN selamatkan mangsa sindiket di Kemboja – Musa