KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk ‘menekan butang’ sekirannya dia tidak berpuas hati dengan kerajaan yang ada.
Menurut Asyraf Wajdi, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tidak seharusnya hanya berani mengertak kerajaan yang ada tanpa membuat sebarang tindakan.
Ini kerana Muhyiddin dengan kuasa yang dimiliki boleh mengarahkan semua ahli Parlimen PN untuk menarik segera sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) boleh dilaksanakan segera.
“Jika Tan Sri Muhyiddin meyakini kerajaan hari ini gagal urus ekonomi dan perlu adakan PRU-15, maka jangan hanya menyalak dan menggertak.
“Buktikan dengan tindakan sebagai anak jantan untuk segera arah anak-anak buah Tan Sri dalam kerajaan untuk menarik sokongan terhadap PM. Kalau berani tekan butang sekarang!” kata Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan di media sosial.
Asyraf Wajdi mengulas kritikan dilemparkan Muhyiddin terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan beliau sebagai Perdana Menteri yang gagal memulihkan ekonomi negara.
Menurut Asyraf Wajdi, keadaan ekonomi hari ini jauh lebih baik daripada sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan melaksanakan lockdown paling lama dan menggantung Parlimen dengan mengisytiharkan darurat sewenangnya selama beberapa bulan.
“Jadi siapa sebenarnya yang gagal urus ekonomi. Siapa Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri MITI? Siapa Menteri Perancang Ekonomi (EPU)? Dan siapa Pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi? Bukankah semuanya termasuk Tan Sri daripada parti bunga? Sekali lagi siapakah yang sebenarnya gagal?
“Apakah setelah Tengku Zafrul isytihar menyertai BN maka Menteri Kewangan lantikan Tan Sri bahkan disyaratkan oleh Tan Sri sendiri untuk dikekalkan sebagai Menteri Kewangan zaman Datuk Seri Ismail Sabri terus diisytiharkan gagal juga?” tanya Asyraf Wajdi.
Semalam media melaporkan, Muhyiddin menganggap ada keperluan untuk Ismail Sabri membubarkan Parlimen secepat mungkin bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan yang lebih efektif.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu menegaskan, apa yang dilihat beliau ialah situasi pengurusan ekonomi dan negara pada masa kini agak meruncing.
“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen.
“Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” tegas Muhyiddin.
Bagaimanapun kenyataan Muhyiddin itu dibalas oleh Ismail Sabri dengan berkata, jika beliau dianggap gagal maka Muhyiddin juga telah gagal melaksanakan tugasnya sebagai Pengerusi MPN.
“Dari segi ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Ekonomi) ada mengurus ekonomi dan kita ada Majlis Pemulihan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Muhyiddin sendiri.
“MPN pun menasihatkan kerajaan jadi tanggungjawab itu adalah tanggungjawab bersama. Kalau gagal maknanya semua gagal.
“Semua gagal termasuk Majlis Pemulihan Ekonomi juga gagal,” kata Ismail Sabri.-MalaysiaGazette