Wan Bukhari Wan Makhtar

KUALA LUMPUR – Wira Putra Bahagian Gombak menggesa kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan tidak melayan sebarang tuntutan sesetengah pihak supaya menambah sekolah vernakular.

Ini bagi memastikan sekolah kebangsaan (SK) sedia ada menjadi pilihan pelajar bukan Melayu sekali gus mewujudkan rasa cintakan negara dalam masyarakat majmuk.

Menurut ketuanya, Wan Bukhari Wan Makhtar, pihaknya selari dengan kenyataan Ketua Wira Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif mengenai perlunya diwujudkan sekolah satu aliran bagi menjamin masa depan generasi muda.

Beliau juga turut menyelar kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang mendakwa penekanan kepada ciri budaya dan agama satu komuniti etnik menyebabkan pendidikan di SK tidak kondusif kepada segmen etnik lain.

“Pemimpin DAP itu mendakwa, langkah kerajaan itu menyebabkan kemasukan anak-anak bukan Melayu ke sekolah kebangsaan merosot bukannya berpunca daripada kewujudan sekolah antarabangsa.

“Kenyataan berbau perkauman daripada P. Ramasamy mengenai sekolah kebangsaan ini adalah salah, sedangkan sekolah ini menyediakan kelas bagi subjek bahasa Tamil, bahasa Cina dan Pendidikan Moral.

“Malah, bukan Melayu juga berpeluang memilih untuk mengambil subjek Pengajian Agama Islam sekiranya mereka berminat kepada kepelbagaian subjek yang bukan sealiran mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menuntut Kementerian Pendidikan agar memastikan tidak ada lagi kewujudan sekolah antarabangsa atau sekolah jenis kebangsaan baharu pada masa akan datang.

Ini kerana tegas Wan Bukhari, untuk menambah sekolah vernakular, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos berasingan untuk tujuan tersebut, sedangkan peruntukan itu boleh digunakan untuk semua pelajar tidak kira agama dan bangsa.

“Kita harap Kementerian Pelajaran memberi tumpuan dan penekanan kepada informasi secara berkala setiap sekolah vernakular serta penjelasan secara ilmiah mengenai pentingnya pelajar bukan bumiputera perlu belajar di sekolah kebangsaan.

“Kewujudan sekolah antarabangsa antaranya menjadi punca sekolah kebangsaan tidak popular kepada pelajar bukan bumiputera kerana pilihan menjadi lebih banyak dengan penambahan sekolah baru,” ujarnya. – MalaysiaGazette