S. Arulchelvan.- foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menghantar surat rasmi untuk memohon menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah gabungan yang bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi PSM, S. Arulchelvan bagaimanapun berkata, permohonan yang dihantar sejak dua bulan lalu itu masih belum mendapat sebarang keputusan.

Jika permohonan PSM diterima, katanya, parti itu juga terbuka untuk menggunakan logo PH pada PRU-15.

“Saya rasa kita boleh ikutlah (guna logo PH),” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Arulchelvan  telah memaklumkan anggota parti itu pada Februari lalu bahawa dia telah memohon untuk menjalin hubungan kerja dengan PH, MUDA, Warisan dan Parti Rakyat Malaysia.

PSM pernah bekerjasama dengan komponen dalam PH dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Ini termasuk Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar pernah bertanding di bawah logo DAP dan PKR di Sungai Siput dari 1999 hingga 2013.

Selain PSM turut memohon untuk menyertai PH adalah parti MUDA pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Permohonan kemasukan kedua-dua parti ini akan dibincangkan dalam Mesyurat Majlis Presiden PH petang ini.

Pada waktu ini PH dianggotai PKR, DAP, Amanah dan UPKO. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast