Artikel ini ditulis oleh pembaca MalaysiaGazette, Khairul Naim Rafidi
DUNIA perundangan dan kehakiman di Malaysia sekali lagi riuh apabila berlaku berbagai-bagai “aksi” di Mahkamah yang berkait dengan kes bekas pembesar negara.
Hakikatnya, isu ini bukan sahaja dibincangkan secara intelektual oleh pengamal undang-undang, tetapi juga seluruh masyarakat sehingga ke akar umbi. Malah, perbincangan tentang “aksi-aksi” di mahkamah tertinggi dalam negara ini juga merebak sehingga ke warung roti canai, kedai kopi dan kedai tomyam.
Sebagai peguam “kampung”, saya juga tidak terlepas daripada ditanya oleh pak cik-pak cik dan mak cik-mak cik berkenaan dengan insiden-insiden yang sedang berlaku baru-baru ini.
Justeru, saya sehabis baik telah cuba sedaya upaya menjelaskan situasi dalam badan kehakiman yang dilanda ribut baru-baru ini.
Sewaktu sedang menikmati roti canai, bersama dengan teh “o” limau ais, saya sekali lagi didatangi oleh seorang pak cik yang bertanyakan isu yang sama. Saya tidak pasti untuk ke berapa kali saya ditanyakan tentang soal kebebasan kehakiman ini.
Malaysia mengamalkan doktrin pemisahan kuasa. Asasnya, paling tidak secara teori, badan-badan pentadbir negara yang meliputi tiga cabang iaitu badan eksekutif, legislatif (perundangan) dan kehakiman adalah dipisahkan-pisahkan bagi memastikan wujud semak dan imbang demi memastikan kelicinan dan keadilan dalam pentadbiran sebuah negara demokrasi.
Dalam kata lain, pengagihan kuasa merupakan suatu kemestian kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai bahawa semua kuasa boleh diamanahkan kepada satu institusi tertentu. Hal ini juga penting bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa.
Maksudnya, ahli Parlimen atau legislatif akan menggalas tugas sebagai penggubal undang-undang. Manakala, hakim pula tidak harus mengambil alih tugas penggubal undang-undang atau menjadi pelindung atau pembela kepada badan eksekutif. Badan eksekutif pula harus melaksanakan undang-undang yang digubal sehabis baik.
Contohnya, jika terdapat pertikaian yang melibatkan pihak pemerintah, badan kehakiman mestilah mentafsirkan undang-undang menurut kaedah tafsiran yang ditetapkan undang-undang yang disadur dengan prinsip keadilan. Sehubungan dengan itu, badan-badan berkenaan tidak akan cenderung untuk menyalahgunakan kuasa.
Sebenarnya, tidak sukar untuk memahami perkara ini. Saya menjelaskan bahawa – senang cerita, masing-masing jaga tempat masing-masing. Jangan campur urusan orang lain. Begitulah saya jelaskan.
Sebagai tambahan, badan kehakiman yang bebas harus menggunakan kuasa kehakiman dengan berpaut kepada konsep kedaulatan undang-undang, dan bukan ragam atau kehendak manusia. Jika undang-undang kata begitu, ia harus dilaksanakan sedemikian rupa.
Ketika melaksanakan tugas, badan kehakiman juga harus sedar bahawa rakyat sedang melihat, dan jelas sentiasa mengharapkan kecekapan dan kesaksamaan dalam melaksanakan tugas tersebut. Badan kehakiman yang baik dan cekap bukan sahaja mesti menunjukkan kemahiran mentafsir undang-undang, tetapi juga memiliki kewibawaan serta integriti yang tidak boleh dipertikaikan.
Hal ini bukan bermaksud hakim wajib mengambil sikap anti-pemerintah, tetapi mereka perlu mengambil pendirian yang berkecuali sepenuhnya dalam kes-kes yang didengar, dan mengambil sikap patuh kepada undang-undang yang telah ditetapkan, tanpa mengenepikan prinsip keadilan dan kesaksamaan.
”Ooo, macam tu…Semua ada tugas masing-masing la. Kena bebas la…”
Begitulah respons pak cik tersebut. Saya berharap beliau dapat memahami bebelan saya yang pada saat itu menggunakan bahasa yang paling mudah.
Perjalanan negara bangsa ini masih jauh. Dalam negara ini, bukan semua kelompok dapat memahami secara tepat sistem yang sedang dipraktikkan. Tempoh kemerdekaan selama 65 tahun adalah terlalu singkat dan masih belum cukup untuk memastikan kecaknaan rakyat negara ini.
Secara realitinya, tidak ada sistem keadilan ciptaan manusia yang begitu sempurna dan tidak ada cacat-cela. Perkara yang penting adalah – badan-badan ini harus berusaha untuk memberi khidmat terbaik berdasarkan undang-undang sedia-ada. Semoga Allah SWT merahmati dan melindungi Malaysia.
Khairul Naim Rafidi
Penulis merupakan Peguam muda yang beramal di Selangor dan menetap di Port Klang, Selangor.
Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette