KUALA LUMPUR – Penjaga gol Penang FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengakui komunikasi antara pertahanan perlu diperbaiki untuk memastikan gawang lebih ampuh menjelang aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC Sabtu ini.
Baginya, selepas beraksi dalam tujuh perlawanan liga sebagai penjaga gol utama setakat ini, Hafizul telah bolos sebanyak 11 jaringan dan menganggap pencapaian itu bukanlah yang terbaik untuknya.
Dengan pasukan masih lagi kemarau kemenangan dalam lapan perlawanan terdahulu, mereka perlu segera cari solusi daripada setiap bahagian pasukan terutamanya pertahanan bagi memastikan pasukan tidak lagi bolos.
“Bagi saya sudah tentu kita semua rasa tekanan itu apabila tewas sebab kita dah lama tak menang. Kami memang mencuba sebaik mungkin dalam setiap perlawanan sebab tiada orang pun turun bermain untuk kalah, cuma belum ada rezeki untuk menang.
“Saya sendiri tidak berpuas hati sebab saya pun tidak banyak bermain dan Khatul (Khatul Anuar) banyak beraksi pada awal musim.
“Jadi apabila dah bolos 11 gol dalam tempoh enam hinga tujuh perlawanan memang bukan prestasi baik untuk saya dan andai diturunkan pada Sabtu ini, saya akan cuba perbaiki lebih baik komunikasi antara pertahanan,” jelasnya.
Namun, bekas penjaga gol Perak itu mengharapkan Penang mampu mengakhiri musim 2022 tanpa tercicir mata dalam empat perlawanan terakhir ini selain masih meletakkan harapan untuk layak beraksi di pentas TM Piala Malaysia.
“Kami lebih suka untuk layak secara merit ke Piala Malaysia dan harap-harap dengan baki empat perlawanan ini kita akan usaha sebaik mungkin untuk menang.
“Sebenarnya kalau nak bercakap pasal pasukan, kami pada awalnya memang jangka akan sedikit bergelut apabila ramai tonggak utama Penang musim lepas berhijrah.
“Cuma saya tidak sangka ianya sampai ke tahap sebegini, tetapi Alhamdulillah motivasi kami semua tetap tinggi untuk terus fokus perlawanan akan datang”, tambahnya.
Penang FC kini berada di tangga tercorot Liga Super selepas 18 perlawanan apabila hanya mencatat tujuh mata sahaja setakat ini. – MalaysiaGazette