Kelab Bola Sepak Melaka United FC (MUFC) memohon maaf kepada penyokong, pemain, jurulatih dan pegawainya kerana pasukan itu tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia 2022 ekoran gagal melunaskan tunggakan gaji.

MELAKA – Kelab Bola Sepak Melaka United FC (MUFC) memohon maaf kepada penyokong, pemain, jurulatih dan pegawainya kerana pasukan itu tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia 2022 ekoran gagal melunaskan tunggakan gaji.

MUFC dalam satu kenyataannya berkata, sudah mengambil maklum berhubung pembatalan slot TM Piala Malaysia 2022 oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berikutan isu berkenaan.

“Kelab dengan ini memohon maaf kepada semua para pemain, jurulatih dan pegawai yang terlepas untuk beraksi dalam saingan berprestij Piala Malaysia musim ini serta para penyokong dan peminat yang menjadi tulang belakang pasukan selama ini.

“MUFC masih berusaha untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi dan percaya krisis yang berlaku ketika ini dapat diselesaikan jika semua pihak berkepentingan bersama-sama membantu dalam memastikan kebajikan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang akhirnya menjamin kelestarian kelab,” katanya.

Tambah kenyataan itu, proses penstrukturan saham dan mendapatkan dana dari pihak berkepentingan yang masih belum selesai ini juga menyebabkan pihak pengurusan kelab membuat keputusan supaya perkara ini dapat diselesaikan terlebih dahulu.

“Keutamaan kini diberikan untuk MUFC kekal berada di Liga Malaysia tahun hadapan.

“Pengurusan mengambil iktibar daripada isu ini dan akan terus memandang ke hadapan bagi memastikan MUFC memperoleh lesen bagi menyertai Liga Malaysia 2023,” katanya.

MFL dalam satu kenyataan semalam mengumumkan MUFC tidak dibenar beraksi dalam Piala Malaysia 2022 susulan gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya.

Keputusan dibuat Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas kelab Liga Super itu gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji seperti tarikh ditetapkan.

Menurut MFL, pasukan berkenaan telah menerima notis peringatan pada 6 September lalu untuk menyelesaikan tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama sehingga 20 September, namun gagal. – MalaysiaGazette