Sebahagian daripada 10 buah premis perniagaan dipotong bekalan elektrik selepas didapati menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan judi ekor tanpa lesen dalam operasi yang dijalankan di sekitar Melaka Tengah semalam.

MELAKA – Sebanyak 10 buah premis perniagaan dipotong bekalan elektrik selepas didapati menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan judi ekor tanpa lesen dalam operasi yang dijalankan di sekitar Melaka Tengah semalam.

Operasi pemotongan itu bermula jam 10 pagi hingga 5 petang itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit bagaimanapun berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana premis terbabit kosong ketika operasi dijalankan.

“Premis-premis ini dipercayai berselindung di sebalik aktiviti perniagaan lain seperti kedai telefon bimbit dan restoran manakala di bahagian belakang pula berlaku jualan tambah nilai judi dalam talian tanpa lesen.

“Kesemua premis yang diserbu itu disewakan kepada penyewa lain dan hasil soal siasat terhadap pemilik mendapati kebanyakan pemilik tidak tahu tentang kegiatan haram terbabit,” jelasnya.

Christopher Patit

Menurut beliau, tindakan memotong bekalan elektrik itu dibuat mengikut Seksyen 44 (a) Akta Rumah PerJudian Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Perjudian Terbuka 1953.

“Polis memberi amaran keras kepada setiap pemilik premis perniagaan supaya tidak menyalahgunakan lesen perniagaan sedia ada bagi tujuan menjalankan kegiatan haram berkenaan,” tegasnya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Christopher berkata, sebanyak 61 premis perniagaan telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik atas kesalahan sama dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 440 serbuan telah dilakukan berhubung kegiatan berkenaan. – MalaysiaGazette