Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Dr Marzuki Mohamad yang menunding jari dan menuduh Kerajaan Keluarga Malaysia hari ini gagal akan hanya mengheret satu lagi episod kepada kecamukan politik yang akhirnya boleh membawa kepada ketidakstabilan politik yang pernah berlaku sebelum ini.

Amaran itu dibuat oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad.

Lagipun, katanya, ketika ini bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi menjawat jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, selain beberapa lagi Menteri Kabinet dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga berada dalam kerajaan.

Tegas beliau, sewajarnya usaha menstabilkan politik yang berjaya dicapai harus dikekakan demi memastikan setiap usaha kerajaan tidak terjejas dan terbantut.

Mengulas kenyataan Marzuki yang mendakwa kerajaan hari ini berada dalam sindrom penafian, Syed Fazmi berkata, apabila bercakap soal pemulihan negara pasca pandemik dalam apa juga aspek, ia harus melihatnya secara rasional.

Bukannya terikat dengan satu tajuk ekonomi sehingga membandingkan peratusan pencapaian antara Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, Ismail Sabri mengambil alih kerajaan semasa pandemik Covid-19 masih meruncing, yang mana jumlah jangkitan dan kematian masih tinggi.

Malah, semua aktiviti ekonomi ketika di bawah pentadbiran Muhyidin masih ditutup, peniaga tidak dapat menyara keluarga dan ramai yang hilang punca pendapatan.

Larangan pergerakan ketika itu turut menjerumuskan ramai rakyat kepada kesusahan.

”Apabila Ismail Sabri mengambil-alih tampuk pemerintahan negara, satu keputusan dan langkah berani atau boleh saya katakan “nekad” dengan membuka sempadan dan aktiviti ekonomi berdasarkan nasihat setelah kadar vaksinisasi negara mencapai tahap memuaskan demi memastikan rakyat tidak lagi dikurung dan disekat untuk mereka mencari kembali punca pendapatan mereka melalui sektor-sektor tertentu.

”Itulah yang dinamakan pemulihan ekonomi berbanding penguncupan ekonomi semasa pandemik .Kita boleh lihat pemulihan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang positif sebanyak 3.6% bagi suku keempat 2021, 5.0% pada suku pertama 2022, dan 8.9% bagi suku kedua 2022 (pertumbuhan tertinggi di Asia Tenggara bagi tempoh tersebut) berbanding KDNK ketika PM8 (Muhyiddin) yang berada pada tahap (mengucup) -5.6%(negatif) pada tahun berakhir 2020,” katanya dalam kenyataan di sini.

Syed Fazmi menambah, semua negara di dunia masih bergerak ke arah pemulihan ekonomi tetapi Malaysia berjaya mengekang daripada berlakunya pengucupan ekonomi yang jauh lebih parah apabila sempadan dan pergerakan rakyat terus ditutup ala darurat.

Beliau tidak menyangkal fakta ekonomi yang dikemukakan Marzuki bahawa banyak syarikat terpaksa memberhenti pekerja atau mengecilkan operasi kerana tiada permintaan.

Bagaimanapun, menurut Syed Fazmi, situasi itu bukan luar biasa ketika syarikat mahu kembali beroperasi, ia memerlukan masa untuk mengembalikan kedudukannya dengan kadar yang maksimum.

”Saya juga tidak menafikan ada pekerja sebelum itu diberhenti atau direhatkan tetapi apabila banyak syarikat dan perusahaan memulakan kembali operasi mereka, kebanyakan syarikat-syarikat terutama yang bertaraf perusahaan kecil dan sederhana mengambil pekerja dengan tangga gaji yang baru demi untuk memastikan operasi berjalan lancar.

”Tidaklah kita kata kita berada dalam “denial syndrome” tapi kerajaan pimpinan Ismail Sabri berusaha keras untuk memastikan Keluarga Malaysia terus dibela termasuk melibatkan aspek kebajikan.

”Apa yang boleh kita katakan ialah Kerajaan Keluarga Malaysia tidak hanya memeluk tubuh atau berdiam diri tidak melakukan apa-apa dalam menangani krisis ekonomi yang bakal melanda banyak negara.

“Kerajaan berusaha mencari jalan dan kaedah terbaik untuk meminimumkan kesannya dan seharusnya menjadi tanggungjawab kepada semua pihak kepimpinan dalam kerajaan mahupun pembangkang untuk melihat isu dan krisis ini secara bersama dan bukannya melihat dari sudut politik kepartian semata.,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette