KUALA LUMPUR – Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menyokong kerajaan serta Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggesa pengamal hartanah mematuhi Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Anti Keganasan (AMLA).

Presidennya Chan Ai Cheng dalam satu kenyataan hari ini berkata, bidang hartanah dianggap sebagai amalan profesional dan dikenal pasti sebagai institusi pelaporan bagi BNM dalam pematuhan akta AMLA.

MIEA telah menyaksikan peningkatan dalam permintaan untuk perkhidmatan yang lebih baik daripada ejen yang melakukan transaksi kira-kira 60 peratus di seluruh Malaysia.

Perkhidmatan ejen perlu dinaik taraf selain dipertingkatkan secara berkala. Ini memberi manfaat kepada rakyat dan membolehkan profesion itu berkembang.

Sebagai kerjaya yang agak baharu, terdapat keperluan ke arah konsisten serta komitmen untuk menjadi relevan dan progresif,” kata Chan.

Menurut beliau, dikenal pasti sebagai institusi pelaporan, adalah wajib bagi ejen ini untuk menjalankan usaha wajar pelanggan (CDD) yang memerlukan pengumpulan dokumen pengenalan diri termasuk melaporkan pembeli atau penyewa yang mencurigakan yang mungkin terkait dengan isu pengubahan wang haram, yang sebenarnya merupakan “tindakan sukar” untuk diikuti.

Bagi menyokong usaha ini, MIEA hari ini menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Halo Check Sdn Bhd dan CRE Tech Sdn Bhd.

Ejen-ejen ini boleh melanggan aplikasi web yang dipanggil HALOCHECK untuk menjalankan pemeriksaan pelanggan secara serta-merta ke atas tuan tanah, penyewa, penjual dan pembeli.

Kerjasama dengan CRE Tech melibatkan platform penyenaraian yang dikenali sebagai BRIQ BLOQ untuk mengakses maklumat penyenaraian komersial terperinci dan kekosongan secara langsung daripada tuan tanah. – BERNAMA