Bot nelayan yang didapati melanggar syarat sah lesen ditahan APMM Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Tiga lelaki termasuk dua warga asing ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang semalam, susulan menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, tekong tempatan bersama dua kru Indonesia itu ditahan ketika pihaknya sedang melakukan rondaan rutin di kedudukan 2.5 batu nautika barat Gertak Sanggul di sini, pada jam 12.20 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki berusia antara 49 hingga 56 tahun itu menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika.

“Siasatan juga mendapati bot nelayan itu berpangkalan di Batu Maung di sini selain dua warga Indonesia itu memiliki kad permaustatin tetap,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tiga lelaki termasuk dua kru warga Indonesia ditahan.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, bot dan nelayan bersama sebanyak 150 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban di sini, bagi siasatan dan tindakan lanjut.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh  menghubungi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146,” jelas beliau. – MalaysiaGazette