PINTAR

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) berpandangan adalah tidak sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

Presidennya, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, pandangan itu berdasarkan kepada konteks suasana negara dan rakyat ketika ini.

“PINTAR melihat masa yang sesuai untuk PRU dilaksanakan pada Mac atau selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.

“Sekiranya dibuat ketika musim cuti sekolah adalah lebih baik untuk memastikan keselesaan kepada rakyat turun mengundi memilih parti yang akan membentuk kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, PINTAR berpandangan kerajaan Pusat dan negeri serta para wakil rakyat perlu memfokuskan kepada isu yang lebih utama, iaitu kebajikan rakyat.

Mohd. Roslan memberitahu, sebagaimana yang dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi, musim tengkujuh semakin hampir dan lazimnya akan berlaku musibah banjir di beberapa bahagian di negara ini.

“Agensi-agensi penting negara juga perlu bersedia untuk menghadapi musibah sebagai prioriti buat masa ini.” jelasnya.

Menurut beliau, krisis perubahan iklim yang sedang melanda dunia termasuk Malaysia kini memberi sekurang-kurangnya dua implikasi yang memerlukan perhatian pengurusan kerajaan.

“Pertama, ketidaktentuan cuaca monsun yang menyebabkan berlakunya banjir kilat yang kerap.

“Kedua, kenaikan paras air laut menyebabkan beberapa kawasan bakal ditenggelami,” katanya.

Mohd. Roslan berkata, banyak negara terkesan daripada krisis perubahan iklim yang mengakibatkan beberapa negara seperti China dan Thailand meningkatkan stok penimbal seperti beras, jagung dan lain-lain, sekaligus menyebabkan berlakunya kekurangan bahan makanan dan kenaikan harga di pasaran dunia.

Menurut beliau, kesan Perang Rusia-Ukraine turut menyebabkan berlaku sekatan ke atas barangan makanan dan bahan api dan yang terkini ia melibatkan cip komputer yang diperlukan untuk industri elektronik dan jentera.

“Akibatnya kerajaan pasti memerlukan tempoh masa bagi penyediaan pelan tindakan bagi menangani permasalahan kesan yang berlaku ke atas sektor industri dan termasuk juga sektor ternakan di negara ini.

“Ini amat penting dalam mengurangkan tekanan inflasi yang kian mencengkam ekonomi negara,” jelasnya.

Mohd. Roslan turut menyarankan agar kerajaan memperkukuhkan langkah-langkah pemulihan ekonomi negara sebelum PRU-15.

Beliau memberitahu, nilai ringgit masih berada di tahap yang dianggap rendah dengan kadar sekitar RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat dan turut menunjukkan penurunan dari semasa ke semasa.

Mohd. Roslan berkata, PINTAR juga berpandangan, rakyat perlu dapat merasai manfaat Bajet 2023 yang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada awal bulan depan.

Menurutnya, PINTAR yakin rakyat juga menantikan manfaat dan keistimewaan yang akan kerajaan berikan terutamanya bagi golongan B40 dan M40.

“Sebahagian inisiatif yang bakal diumumkan nanti akan mula dilaksanakan pada 2023 dan memerlukan beberapa bulan sekurang-kurangnya untuk sampai sepenuhnya kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, PINTAR juga menggesa agar penyelarasan pilihan raya perlu dilaksanakan di peringkat negeri dan Persekutuan supaya kos penjimatan perbelanjaan dalam
pilihan raya dapat dioptimumkan.

Katanya, adalah tidak munasabah bagi kerajaan untuk membelanjakan kos yang tinggi sehingga berbilion ringgit sekiranya pilihan raya diadakan secara berasingan.

“Ini akan menyebabkan negara menanggung kerugian sekiranya pilihan raya berasingan ini berlaku. Rakyat pasti tidak mahu pembaziran.

“Sebarang kos berganda pengurusan pilihan raya itu sebenarnya boleh digunakan untuk membantu golongan terkesan dan golongan yang sedang dalam keadaan ingin pulih daripada aspek ekonomi disebabkan pandemik yang berlaku tempoh hari,” jelasnya.

Mohd. Roslan menambah, PINTAR juga menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyelaraskan kerjasama parti-parti politik utama melalui pertemuan peringkat tinggi bagi memastikan agenda penyatuan dan perpaduan ummah dapat dipertingkatkan demi kelestarian Keluarga Malaysia.

Jelas beliau, agenda penyatuan ummah perlu diperjelaskan dan disegerakan supaya parti-parti komponen yang terlibat dapat memberi keutamaan kepada perkara tersebut.

“Kerjasama atas apa-apa nama sekali pun sama ada penyatuan atau muafakat, perlu dimuktamadkan segera sebelum pilihan raya umum.

“Jika tidak selesai, ia akan menyebabkan jentera pilihan raya kucar-kacir dan tidak efisien serta senang dieksploit oleh sesiapa,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Roslan berkata, PINTAR meminta supaya pihak-pihak yang berkenaan tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan pilihan raya tanpa mengambil pertimbangan tentang perkara-perkara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast