Jefferey (dua dari kiri) menyantuni anak asnaf yang uzur.

PUTATAN – Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan misi menyantuni masyarakat di sekitar daerah Putatan, Sabah.

Program ziarah itu antara lain mengambil cakna mengenai permasalahan masyarakat sekitar dan menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka.

Dalam program di Putatan semalam, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Jefferey Nor Mohamed turun ziarah beberapa individu antaranya Zaitun Ishak, 34, yang hanya terbaring di rumah selepas menjalani pembedahan tiroid.

Zaitun yang menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi selama lebih 10 tahun ini mengalami kesukaran untuk berjalan dan amat memerlukan sumbangan kerusi roda, selain katil hospital.

Sumbangan itu akan memudahkan beliau untuk bergerak lebih selesa apabila berbaring.

Jefferey (dua dari kanan) bertanya khabar seorang asnaf di Putatan.

“Selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, saya akan cuba untuk menyediakan keperluan katil hospital untuk beliau.

“Kerja kebajikan adalah sebahagian daripada program YBR dan saya akan cuba sebaik mungkin memberi bantuan diperlukan seperti kerusi roda, bekalan makanan dan bergantung pada keperluan tertentu mereka yang memerlukan,” katanya.

Turut hadir dalam program itu ialah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Melalui Program Ziarah YBR ini, bantuan dan sumbangan segera akan dapat diberikan kepada individu yang memerlukan alatan atau apa jua bentuk keperluan lain.

Untuk rekod, sebelum ini YBR pernah memberikan alat bantuan pernafasan, mesin braille dan pelbagai alatan lain yang boleh membantu memudahkan pesakit daripada golongan kurang berkemampuan.

Salah seorang penduduk yang menerima bantuan YBR menzahirkan rasa syukur kerana ada pihak yang mengambil berat mengenai mereka dan datang bertanya khabar.

“Saya harap program ziarah seperti ini dapat lebih kerap diadakan agar memberi manfaat dan mengambil cakna kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti saya.

Jefferey dalam misi menyantuni masyarakat di sekitar daerah Putatan, Sabah.

Sumbangan yang diberikan menerusi program ini sangat bermakna buat saya dan keluarganya,” katanya.

Program ziarah itu telah dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Putatan dan lebih tertumpu kepada golongan asnaf, B40 dan juga mereka yang sedang dilanda musibah seperti sakit serta perlu dibantu.

Selain Program Ziarah, YBR juga melaksanakan program bantuan persekolahan seperti meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan pakaian dan peralatan sekolah. – MalaysiaGazette