SEBELUM Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sering kedengaran suara para pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) menghasut rakyat mengundi mereka. Kata mereka, cuba dahulu sepenggal, kalau tak bagus nanti tukar balik.
Ramai rakyat yang termakan hasutan mereka dan akibatnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) pun tumbang. Memang menyedihkan namun hakikat yang pahit itu terpaksa ditelan kerana rakyat telah membuat pilihan.
Malam 9 Mei 2018 dianggap sebagai tarikh bersejarah bagi penyokong PH. Kononnya, tarikh itu menandakan bermulanya era Malaysia Baharu di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikitar semula sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Namun, kegembiraan yang dikecapi majoriti rakyat yang memilih PH tidak bertahan lama. Dalam masa setahun, Malaysia mengalami kemunduran dari segi ekonomi sehingga menyebabkan rakyat hidup dalam kesulitan.
Rakyat dimomokkan oleh kerajaan PH kononnya hutang negara peninggalan BN melebihi RM1 trilion, walhal jumlah yang sebenarnya pada penghujung 2017 hanyalah RM686.8 bilion.
Mulut bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memang masin kerana akhirnya, hutang negara benar-benar mencecah RM1 trilion pada Januari lalu.
Begitu juga dengan nilai ringgit yang semakin jatuh sehingga mencecah RM4.60 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini. Rakyat turut menerima kesan secara langsung apabila harga barangan yang diimport termasuk makanan semakin mahal.
Pemimpin-pemimpin PH mengambil jalan mudah dengan menyalahkan kerajaan sedia ada pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas krisis ekonomi yang melanda negara.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kembali menjaja ‘formula songsang’ kononnya PH mampu memulihkan ekonomi negara sekiranya rakyat memberi peluang kedua kepada mereka.
Bekas-bekas pemimpin PH seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula cuba menegakkan benang basah kononnya situasi ketika mereka menjadi Perdana Menteri dahulu adalah lebih baik berbanding sekarang.
Mungkin Dr. Mahathir terlupa bagaimana kacau-bilaunya negara apabila beliau secara tiba-tiba meletak jawatan ketika krisis pandemik COVID-19 baru sahaja bermula.
Lebih malang lagi, Muhyiddin yang menggantikan beliau lebih kurang sama sahaja gagalnya dalam menguruskan ekonomi negara.
Adalah tidak adil untuk meletakkan beban kesalahan di atas bahu Ismail Sabri dan kerajaan sedia ada sahaja.
Masalah ekonomi yang melanda negara sekarang diwarisi sejak zaman PH selama 22 bulan dan Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan.
Kabinet Ismail Sabri masih dianggotai saki-baki menteri era PH dan PN dahulu, terutamanya yang bersangkut paut dengan hal ehwal ekonomi.
Malah, Muhyiddin menyandang jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang tidak kelihatan apa signifikannya dalam usaha membawa Malaysia keluar dari krisis.
Tidak keterlaluan jika dikatakan masalah yang menimpa Malaysia hari ini adalah berpunca daripada kesilapan rakyat memilih lebih empat tahun lalu.
Memang benar kita tidak dapat menghalang takdir seperti COVID-19 daripada berlaku, namun sekurang-kurangnya BN mempunyai pengalaman luas dalam menangani krisis ekonomi dan keselamatan sejak negara merdeka.
Malah, telah terbukti bahawa defisit belanjawan dan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut selama sembilan tahun berturut-turut di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Krisis ekonomi yang kita alami mungkin tidak seburuk ini sekiranya BN tidak tumbang pada PRU-14 dan Najib masih lagi menjadi Perdana Menteri.
Situasi ekonomi yang serba menekan dan memeritkan ini tidak boleh dibiarkan terus berlarutan dan berulang. Rakyat jangan lagi tersalah pangkah.
Kembalikan mandat kepada BN untuk mengemudi negara keluar daripada zaman kemelesetan ini. – MalaysiaGazette
Memang lah bijak umno memerintah . Kalau bodoh tak kan ada 1mdb . Tak kan najib kena tankap. Bila ph memerintah hanya 22 bulan najib masuk kedalam . Kalau umno tak kalah najib masih bebas . 1mdb bertambah untong . Tak tahulah kalau ada rakyat yang masih tidur lena lagi . Hingga hutang negara lebih 1 trilion sekarang . Ini ph lah punca nya . Kalau umno memerintah hutang tak sampai pun 1 trilion . Macam tabung haji boleh bagi devidin tinggi macam pak man telo . bila ph memerintah banyak harta tabung haji kena jual . Dividen pun terus jatuh . Dalam sesak sesak begini undilah umno supaya boleh bayar gst untok bayar hutang negara macam najib buat dahulu.