MHO menghantar memorandum merayu supaya rakyat Malaysia yang terperangkap di Laos di Kedutaan Laos hari ini.

KUALA LUMPUR – Luluh hati apabila ada dalam kalangan rakyat Malaysia terpaksa melalui detik-detik ngeri ketika mencari rezeki di negara orang.

Lebih menyedihkan apabila tawaran kerja yang diperoleh rupa-rupanya datang daripada sindiket pemerdagangan manusia.

Itulah pengalaman yang dilalui mereka selepas terjebak dalam sindiket di Laos, Myanmar dan Kemboja.

Malah lebih mengejutkan apabila sindiket sanggup menawarkan habuan lumayan mencecah jutaan dolar bagi menangkap mereka yang berjaya meloloskan diri, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Beliau mendakwa, sindiket di Laos sanggup menawarkan wang habuan kira-kira dolar AS$2 juta bagi menangkap rakyat Malaysia yang berjaya meloloskan diri dari negara berkenaan.

Pendedahan itu dibuat dibuat selepas mengesahkan perkara itu dengan keluarga mangsa, selain ada mangsa yang berjaya melepaskan diri dan sedang mendapat perlindungan kedutaan Malaysia di sana.

“Anda bayangkan, AS$2 juta itu bersamaan dengan hampir RM9.1 juta. Rakyat kita bukan suka-suka atau rela hati ke sana, mereka sebenarnya ditawarkan pelbagai kerja termasuklah penterjemah dengan gaji lumayan dalam bentuk dolar Amerika.

“Tetapi bila sampai sana, lain pula jadinya. Untuk pengetahuan anda, kita ada sekurang-kurangnya 10 orang rakyat kita yang berjaya melepaskan diri dengan cara mengorek tanah sebelum dapat lolos dari kawasan segi tiga emas itu.

“Tapi 10 yang berjaya itu hanya angka sedikit jika hendak banding dengan yang sedang terperangkap dekat situ yang kawalannya juga agak ketat dan mengerikan seandainya ada yang di tangkap cuba melarikan diri.

“Rata-rata rakyat kita di situ bukan sahaja di tipu dan tidak dibayar gaji langsung malah dijual kepada sindiket lain.

“Mereka juga dipaksa melakukan kerja-kerja terkutuk, haram dan melanggar undang-undang serta hak asasi kemanusian seperti melacur, jual organ, melakukan scammer dan lain-lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MHO juga tampil menyampaikan memorandum di Kedutaan Laos di Jalan Damai di sini hari ini bagi merayu supaya rakyat Malaysia yang terperangkap di negara itu hari ini.

Turut hadir lebih 30 keluarga mangsa yang turut menangis dan merayu sesuatu dilakukan bagi menyelamatkan mangsa-mangsa yang tertipu.

Kata Hishamuddin lagi, kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri perlu lebih bertegas dalam menangani isu ini.

“Tidak ada sesiapun lagi kecuali Perdana Menteri yang boleh selesaikan perkara ini. Bukan main-main lagi kerana ramai mangsa saban hari tertipu, tolonglah. Kita juga sedang berhempas pulas menyerahkan memorandum dan melakukan apa yang boleh.

“Jika anda dengar sendiri suara keluarga mangsa merintih, memang menitik airmata,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang juga Penasihat MHO memohon mangsa sindiket penipuan yang berjaya diselamatkan membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan. 

Pada masa sama, Musa percaya ada rakyat tempatan yang menjadi sebahagian sindiket ini. -MalaysiaGazette