IPOH – Polis Perak sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan culik seorang murid Tahun 3 di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan, Taman Pinji Mewah di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada ibu kanak-kanak perempuan itu pada jam 9.07 malam hari sama.

Jelas beliau, pihak polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tersebut dan siasatan dilakukan dari pelbagai sudut.

”Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri serta pihak sekolah dalam mempertingkatkan langkah pencegahan dan keselamatan di sekolah.

Mohd Yusri.

“Ibu bapa diminta menghantar dan mengambil murid mengikut waktu ditetapkan dan memaklumkan kepada pihak sekolah jika mempunyai sebarang masalah mengenai urusan mengambil dan menghantar murid ke sekolah.

“Selain itu, pihak sekolah juga diingatkan supaya memastikan urusan menghantar dan mengambil murid dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang sah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Yusri berkata, pihaknya juga telah menempatkan pegawai polis sebagai pegawai perhubungan sekolah (PPS) di seluruh Perak.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Norazlina Rais Ahmad di talian 013 628 2176 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelas beliau.

Semalam, tular satu hantaran di Facebook yang dimuat naik bapa kanak-kanak berkenaan dengan dakwaan anaknya hampir menjadi mangsa penculikan namun berjaya menyelamatkan diri ketika berada di hadapan sekolah tersebut.

Berdasarkan hantar itu, bapa mangsa mendakwa kejadian ngeri itu menimpa anak sulung mereka kira-kira jam 1 petang apabila dia didatangi seorang lelaki yang mempelawanya untuk pergi jalan-jalan selain akan memberikan gula-gula.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dikatakan menolak pelawaan lelaki tidak dikenali itu dengan alasan mahu masuk sekolah sebelum individu berkenaan cuba menariknya secara paksa.

Kanak-kanak itu dikatakan menjerit dan menggigit penjenayah tersebut sebelum lelaki itu terus melarikan diri menaiki van putih yang dikatakan terletak kira-kira 20 meter dari lokasi dia bertemu kanak-kanak terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast