MELAKA – Tahap kesedaran pekerja sendiri di Melaka mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan Sendiri (SPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) masih rendah.
Pengarah PERKESO Melaka, Abd Razak Omar berkata, berdasarkan rekod sehingga Ogos lalu, hanya 31.8 peratus atau 8,907 pekerja sendiri di negeri itu mempunyai kesedaran itu berbanding anggaran 28,000 kumpulan di seluruh Melaka.
“Kalau dilihat pada data ini, jumlah 8,907 itu masih rendah sedangkan kita anggarkan terdapat kira-kira 28,000 pekerja sendiri di Melaka melibatkan penjaja, penunggang penghantaran makanan (p-hailing), penjaja dan nelayan.
“Sebab itu, kita sedang giatkan usaha terutamanya untuk menggalakkan penjaja berdaftar dengan SPS untuk menjamin masa depan mereka sekiranya ditimpa musibah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program PERKESO Bersama Media di Bayview Hotel yang dirasmikan Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.
Hadir sama Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) Amir Mamat.
Mengulas lanjut, Abd Razak berkata, PERKESO akan terus mempermudahkan penyediaan dokumen-dokumen bagi pendaftaran SPS sebagai galakan dan mempermudahkan pekerja mencarum.
“Kita hanya memerlukan dokumen yang berkaitan sebagai bukti pekerjaan dilakukan ataupun hanya dengan pengesahan ketua kampung sekiranya bakal pencarum itu petani atau penjaja kecil-kecilan,” katanya.
Terdahulu, seramai 30 petugas media sambilan di negeri ini mendapat tajaan caruman selama setahun berjumlah RM6,984 daripada Hee Sem sebagai penghargaan kepada petugas media. – MalaysiaGazette.