Mohamed Azmin Ali

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini sebulat suara menolak permohonan 10 pengundi berdaftar Parlimen Gombak untuk mengembalikan saman sivil mereka terhadap Ahli Parlimen, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari kawasan itu.

Tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Azahar Mohamed menolak rayuan kebenaran oleh para pengundi itu.

Keputusan itu dibuat atas alasan isu undang-undang yang baharu dikemukakan oleh mereka dalam rayuan tersebut.

Pada April lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman yang dikemukakan 10 pengundi tersebut.

Mahkamah Rayuan ketika itu memutuskan tuntutan pengundi berkenaan tidak kukuh dan tiada keperluan bagi saman itu diteruskan untuk perbicaraan penuh.

Mahkamah juga membenarkan rayuan Mohamed Azmin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun tahun lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman itu.

Pada 27 November 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Azmin yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi berkenaan antara lain memohon pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Mereka menuntut ganti rugi teruk dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 12 Mac tahun lalu, Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan saman berkenaan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau mendakwa saman itu melanggar hak asasinya untuk kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast