Bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Mohamad Yusof Kameh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan RM400 untuk kegunaan jabatan empat tahun lalu.

MELAKA – Bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan RM400 untuk kegunaan jabatan empat tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Yusof Kameh, 55, yang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pilihan kedua, tertuduh yang ketika kejadian berkhidmat sebagai Pengarah AADK Melaka telah menerima RM400 tanpa balasan daripada Budyarif Rahmat yang diketahui mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi dengannya.

Kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dilakukan di Pejabat AADK Melaka di Aras 2, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, Melaka Tengah pada 22 Jun 2018.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meminta Budyarif hadir ke pejabatnya pada Mac 2018 untuk membincangkan kerja-kerja membekal dan mencetak beg kertas agensi itu.

Tertuduh kemudian telah mengarahkan lelaki itu supaya menaikkan sebut harga daripada RM4,230 kepada RM4,630 yang mana perbezaan tambahan RM400 itu adalah bahagian tertuduh untuk kegunaan AADK Melaka dan ia dipersetujui lelaki terbabit.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Naran Singh merayu agar anak guamnya diberikan hukuman denda yang lebih rendah iaitu RM2,000 dan tidak dipenjara kerana telah menyesal dan insaf.

Tertuduh juga katanya, telah memberi perkhidmatan yang cemerlang selama 30 tahun bersama AADK sejak 1992 dan kesal dengan kejadian pertama kali itu berlaku pada tahun akhir beliau berkhidmat.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira jawatan tinggi tertuduh dan kesalahan serius dilakukan selain kepentingan awam dalam kes terbabit.

Nur Syakila juga memohon mahkamah mengguna pakai TIC (Take Into Consideration) iaitu memasukkan hukuman pertuduhan yang lain ke satu pertuduhan iaitu pertuduhan dengan nilai perolehan yang paling tinggi dan ia dibuat selepas permohonan pertimbangan dilakukan tertuduh terhadap pendakwaan berkenaan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda tersebut selain bersetuju tiga lagi pertuduhan diambil kira sebagai TIC.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh menafikan dakwaan bagi empat pertuduhan menerima suapan bernilai RM5,900 bagi kerja-kerja penyelengaraan dan pembekalan membabitkan agensi itu di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat AADK Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh antara 24 November 2017 sehingga 19 Mac 2019.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh juga ditawarkan dengan empat tuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Video Berkaitan