Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah menghadiri prosiding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini tidak membenarkan permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggantung prosiding saman cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM9.41 juta. 

Ketika prosiding atas talian hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan untuk menolak permohonan itu dan mahkamah berpendapat tidak ada alasan untuk menerima permohonan menggantung prosiding tersebut.

Roz Mawar memerintahkan pemohon untuk membayar kos sebanyak RM5,000 kepada LHDN dan menetapkan 6 Oktober depan bagi tarikh perbicaraan.

Pada November tahun lalu, Muhammad Shafee memfailkan permohonan agar kes saman tunggakan cukai berjumlah RM9.41 juta itu ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuannya di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia.

Beliau memohon prosiding tersebut ditangguhkan sementara menunggu keputusan bagi rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin berhubung tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta di Mahkamah Persekutuan.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman terhadap Muhammad Shafee pada 6 Mei 2021 dengan menamakan beliau sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama lima tahun. 

Berdasarkan dokumen diperoleh media, peguam berkenaan mempunyai tunggakan cukai tahun taksiran sebanyak RM621,291.85 (2011), RM978,854.11 (2012), RM3,581,500.000 (2013), RM1,735,124.03 (2014) dan RM1,826,557.87 (2016). -MalaysiaGazette