Ahmad Zahid Hamidi kekalahan mutlak
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Selain fungsi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang bercelaru, pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga didakwa melemahkan lagi fungsi majlis tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa meskipun MPN dianggotai oleh pakar-pakar namun keberadaan Pengerusi MPN yang bukan ketua eksekutif menjadikan sebab pelaksanaan cadangan majlis itu kurang political will dan mungkin juga dilihat tidak perlu.

“Pengerusi MPN pula menggunakan majlis itu sebagai platform untuk mengabsahkan propaganda politiknya. Sering sahaja di kempen politik (Piihan Raya Negeri) PRN Melaka dan PRN Johor, Pengerusi MPN menggunakan cadangan-cadangan majlis sebagai peluru politik dalam kempen-kempennya dengan menggambarkan seakan Kerajaan akan gagal jika cadangan-cadangan majlis tidak dilaksanakan.

“Sedangkan rakyat Malaysia tahu, MPN hanya menasihat dan memberikan cadangan kepada kerajaan,” katanya dalam hantaran media sosialnya hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, adat memberi cadangan, jika diterima kita bersyukur dan jika tidak, mungkin ada cadangan yang lebih baik.

“Maka, Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) tidak perlu berkeluh kesah seakan kerajaan telah menidakkan peranan MPN atau MPN telah gagal. Dengan kerajaan yang telah melaksanakan 16 daripada 69 cadangan majlis itu sendiri menunjukkan bahawa kerajaan masih mengambil serius pandangan majlis meskipun kewujudannya tidak jelas, tidak perlu dan bertindih,” katanya lagi.

Malaysia, menurut Ahmad Zahid, memerlukan kestabilan politik sebagai ramuan utama sebelum pelbagai bentuk polisi yang bermakna dapat dibentuk.

“InsyaAllah dengan kemenangan majoriti BN/UMNO kelak, MPN atau majlis seakan MPN tidak lagi diperlukan dan sinergi tersusun antara kerajaan, sektor swasta dan ahli-ahli akademik serta NGO akan terus dirintis bagi membangunkan Malaysia tercinta,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini menganggap ada yang tidak kena dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terutama dalam menangani masalah ekonomi dan cadangan MPN tidak diterima. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast