KUALA LUMPUR – Kemunculan blok parti baharu seperti Gerakan Tanah Air (GTA) dan Perikatan Nasional (PN) selepas keruntuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya melebarkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata, perpecahan itu boleh mengakibatkan mana-mana parti politik sukar memperoleh kemenangan majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Mungkin tidak ada satu parti yang akan menang dalam pilihan raya akan datang untuk memberi mereka kemampuan menubuh sebuah kerajaan sendiri.
“Oleh kerana itu, tidak boleh menubuhkan sebuah kerajaan yang boleh memberi kesan kepada pemerintahan.
“Jadi janji-janji pilihan raya misalnya manifesto dan sebagainya terbengkalai, tidak dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tengku Razaleigh tidak menolak kemungkinan ketidakstabilan kerajaan akan berulang seperti selepas PRU-14 dan pembentukan kerajaan hanya boleh dilakukan melalui konsep kerajaan campuran.
“Jadi terpaksa bergabung dengan pihak yang lain sebagai pakatan, itu pun kalau ada pihak-pihak yang sanggup bersatu dan bergabung dengan mereka.
“Itu bergantung juga kepada platform dan program yang maju kedepan dalam masa kempen pilihan raya, janji-janji pilihan raya.
“Misalnya kalau tiada persamaan, susah mereka nak bersatu atau nak adakan kerjasama. Jadi ini akan menimbulkan banyak masalah,” jelasnya.
Tengku Razaleigh turut melahirkan kebimbangan itu selepas kemunculan blok dan parti politik baharu yang berlaku dalam tempoh satu penggal selepas PRU-14.
“Kebimbangan saya sendiri ialah kalau itu berlaku, takut benda ini berpanjangan, tidakkah enam bulan mungkin setahun, lebih setahun.
“Kita tengok di banyak negara maju pun pertelingkahan disebabkan tidak ada kesanggupan mana-mana pihak untuk berkompromi untuk mengadakan kerjasama,” ulasnya.
Menurutnya, ketidaktentuan politik itu juga boleh mengundang kepada hilangnya kepercayaan segelintir masyarakat terhadap Perlembagaan dan undang-undang negara.
“Orang yang mengharapkan sesuatu sama ada pekerjaan, pelaburan dan sebagainya akan berasa hampa dan ini akan menimbulkan kewujudan kumpulan-kumpulan anarkis.
“Mereka ini tidak percaya lagi kepada Perlembagaan atau pun undang-undang hingga mengambil tindakan mengikut perasaan dan nafsu masing-masing.
“Ini membahayakan masyarakat, pada masa itu, tiada siapa dapat mengawal kerana polis tidak dapat diarah kerana tidak wujud kerajaan dan akan berlaku huru-hara di sana sini,” katanya.
Katanya lagi, ketika itu tiada satu parti politik mampu menasihatkan golongan berkenaan untuk meredakan keadaan dan ia telah berlaku di banyak negara-negara Eropah.
“Kita di sini pula masalah perkauman, hutang dan tidak sama pendapatan, ini akan menjadi isu besar, yang sukar untuk diselesaikan sekiranya timbul bibit-bibit perpecahan ini, apatah lagi masyarakat kini sudah pun berpecah.
“Kalau orang Melayu golongan terbesar dalam negara, sudah berpecah, susah betul kita nak mengamankan keadaan, apatah lagi sudah tidak ada kerajaan untuk mengawal keadaan, itu yang kita bimbang.
“Kita harap tak akan berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette