Muhammad Firdaus (kiri), Azmil dan Hanif Yusabra memeriksa kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Khas Rentas Sempadan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di Lebuh Ayer Keroh, di sini hari ini.

MELAKA – Sebanyak 1,319 daripada 956 kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Khas Rentas Sempadan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, tindakan itu membabitkan sembilan kesalahan utama dan lima kesalahan teknikal yang boleh menyebabkan risiko berlakunya kemalangan dalam operasi terbabit yang diadakan sejak Selasa lalu berakhir hari ini.

Menurutnya, kesalahan utama memotong barisan di sebelah kiri dikenal pasti paling tinggi dilakukan pemandu kenderaan melibatkan 252 kes diikuti membawa muatan lebih sebanyak 131 kes.

“Kesalahan lain antaranya adalah tidak mematuhi lampu isyarat merah 121 kes, tidak memakai tali pinggang keledar (26) dan tidak memakai tali pinggang keledar sebanyak 15 kes.

“Selain itu, sebanyak 240 membabitkan lima kesalahan teknikal turut dikesan antaranya mengubahsuai kenderaan, cermin gelap dan tayar botak,” katanya pada sidang media selepas Ops Rentas Sempadan Zon Selatan Siri 2, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan dan Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf.

Menurutnya, semua kesalahan itu dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ)) 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Kaedah-kaedah Kenderaan Motor 1957.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, operasi berkenaan bertujuan memastikan pemandu sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya tanpa mengharapkan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.

“Dalam operasi tiga warga Indonesia dan Bangladesh berusia 30-an hingga 40-an turut dikenakan tindakan kerana tidak memiliki lesen memandu,” katanya. – MalaysiaGazette.