Lokasi kejadian serangan dikawal ketat oleh pasukan polis Pakistan. Foto GandharaRFE

ISLAMABAD – Seorang penyerang bersenjata yang menyamar sebagai pesakit telah membunuh seorang lelaki dan mencederakan dua orang lagi di sebuah klinik di Karachi.

Ketiga-tiga mereka adalah dua warga China-Pakistan dan telah mengendalikan klinik pergigian di kawasan itu sejak 40 tahun lalu.

Polis berkata, penyerang, yang berusia awal 30-an, “tidak mencederakan warga Pakistan” dalam kejadian pada hari Rabu.

Suspek berjaya melarikan diri dengan bantuan rakan sejenayahnya dengan menaiki motosikal.

Polis telah mengenal pasti mangsa sebagai Ronald Chow, yang bekerja sebagai pembantu doktor gigi Richard Hu, 74, dan isterinya Margaret, 72.

Menurut media tempatan, pasangan itu cedera dalam kejadian tembakan dan sedang dirawat di hospital.

Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan setakat ini motif kejadian tidak diketahui.

Bagaimanapun, ia bukanlah serangan pertama terhadap warga China di negara Asia selatan itu.

Pada April lalu, tiga guru bahasa Cina dan pemandu Pakistan terbunuh dalam pengeboman berani mati di Karachi, berhampiran Institut Confucius di bandar itu.

Pasukan pemisah Baloch Liberation Army – yang menentang pelaburan China di Pakistan kerana tidak menguntungkan penduduk tempatan mengaku menyerang kenderaan tersebut.

China banyak terlibat dalam projek infrastruktur besar di seluruh Pakistan, termasuk di wilayah Balochistan yang kaya dengan sumber.

Balochistan adalag wilayah termiskin di negara ini dan menjadi kawasan kepada pemberontakan sejak sekian lama.

Wilayah itu – yang berjiran dengan Karachi – sedang diubah oleh projek infrastruktur utama China di Koridor Ekonomi China-Pakistan, rangkaian jalan raya, kereta api dan saluran paip antara kedua-dua negara yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Belt and Road Beijing.

Serangan pada hari Rabu telah dikutuk oleh Menteri Dalam Negeri Pakistan, Rana Sanaullah yang menyifatkan insiden seperti itu “tidak boleh diterima”.

“Keselamatan penduduk Cina harus dipastikan dalam semua aspek,” katanya menerusi Twitter. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast