Azam Baki (tengah) pada sesi dialog Program Cakna Rasuah SPRM di George Town, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seramai sembilan individu termasuk pegawai kanan serta kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini, susulan memberi projek kerajaan negeri kepada kartel-kartel tertentu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dengan tangkapan pegawai kanan MBSA itu, pihaknya berjaya membongkarkan sebuah kartel.

“Kita mengesyaki pegawai terbabit menerima satu faedah (habuan) berbentuk ‘landscaping’ bernilai berpuluh ribu ringgit.

“Kita sedang siasat bagaimana perbuatan rasuah itu berlaku selain bagaimana sebuah syarikat mengawal 30 syarikat lain untuk dapatkan projek di jabatan berkenaan di MBSA,” katanya.

Beliau bercakap demikian dalam sesi dialog Program Cakna Rasuah SPRM bersama media zon utara di Vouk Hotel, di sini.

Media sebelum ini melaporkan satu siasatan telah dijalankan SPRM terhadap MBSA berhubung pemberian projek kerajaan negeri kepada kartel-kartel tertentu.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak tiga individu telah direman SPRM tujuh hari bagi membantu siasatan terdiri dua pegawai MBSA dan seorang kontraktor.

Kesemua mereka dipercayai merupakan kroni-kroni melibatkan pengurusan tertinggi berkenaan bagi mendapatkan projek.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, tiada kaitan politik dalam kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) berjumlah nilai RM100 juta.

Jelas beliau, siasatan kes itu mengambil sedikit masa kerana melibatkan suspek yang ramai serta pelbagai pihak lain.

“Setakat ini, kita telah membuka 62 kertas siasatan bersabit kes itu serta menahan 38 lelaki dan 13 wanita bagi membantu siasatan

“Kita menjangkakan akan menyelesaikan siasatan kes ini dalam tempoh sebulan lagi dan kita lihat dalam kes ini ada pihak cuba mengambil kesempatan daripada kemurahan hati kerajaan bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Rasuah: Seorang lagi bekas YDP PBT didakwa esok