MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Ianya menerusi kunjungan hormat Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin ke kampus UMP, Pahang menemui rakan sejawatnya Prof. Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, baru-baru ini.
Dr. Massila berkata,.UTeM dan UMP bersetuju untuk melebarkan perkongsian kepakaran dalam aspek penyelidikan dan inovasi menerusi projek usaha sama dengan mengoptimumkan kepakaran teknikal dalam bidang fokus masing-masing.
Jelasnya, usaha sama dalam penyelidikan ini akan melibatkan pengusulan pembiayaan geran sepadan bagi memartabatkan penyelidikan berpestasi tinggi antara kedua-dua universiti.
Katanya lagi, gandingan erat antara MTUN terunggul ini mampu memperhebatkan lagi nilai akademik dan penyelidikan dalam bidang tujahan berkait teknologi pembuatan termaju dan kejuruteraan sekaligus turut mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
”Selaras dengan kepakaran pengajian teknikal dan amalan pengurusan akademik terbaik kedua-dua universiti, UTeM dan UMP turut merencana program perkongsian akademik yang melibatkan gabungan beberapa fakulti kejuruteraan dari universiti
masing-masing.
”Ianya bagi memaksimumkan kecekapan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta memastikan graduannya terus berpotensi, kekal relevan dan mempunyai kebolehpasaran tinggi,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, kedua-dua pihak juga merangka kolaborasi berhubung praktis dan pengurusan landskap kampus yang berteraskan Kampus Lestari selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari Sustainable Development
Goals (SDGs) yang ingin dicapai menjelang tahun 2030.
Delegasi UTeM turut dibawa melawat Rimba Lestari yang merupakan kawasan penanaman pokok seluas 5.6 ekar hasil kerjasama UMP dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Kawasan ini menempatkan pelbagai spesis pokok unik termasuklah lebah kelulut dan di kesempatan itu Dr. Massila diberi penghargaan oleh pihak UMP untuk menanam pokok jenis jenis Shorea Roxburghii atau dikenali sebagai Meranti Temak Nipis. – MalaysiaGazette