Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sekolah menengah dan dua penjawat awam merupakan antara 3,972 individu yang ditahan polis atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Tapis Khas Siri Keenam pada 26 hingga 28 September lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN negeri membabitkan 1,864 orang pegawai dan anggota.

Katanya, Ops Tapis Khas kali ini mensasarkan kawasan Felda/Felcra, sarang penagih, PPRT dan perumahan, jeti, ladang swasta dan pengkalan haram yang menjadi sarang penagih dadah serta tokan dadah.

“Dalam operasi berkenaan sebanyak 739 pemeriksaan telah dijalankan di ladang Felda dan Felcra, sarang penagih, perumahan PPRT dan PPR, jeti, ladang swasta dan pengkalan haram yang jadi markas serta sarang dadah untuk penagih serta tokan barang terlarang itu.

“Objektif operasi berkenaan adalah untuk mengesan dan menangkap tokan-tokan dadah di ‘hotspot’ yang dikenalpasti dan memusnahkan sarang penagihan mereka, tindakan ke atas penagih tegar, mengesan dan menangkap suspek dikehendaki atas kesalahan dadah dan mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang telah dikenalpasti.

“Hasilnya, pasukan JSJN berjaya menahan dan memeriksa seramai 4,630 orang dan daripada jumlah tersebut seramai 3,972 orang berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau semakan awal mendapati, kesemua tangkapan itu adalah individu berusia dalam lingkungan 14 hingga 70 tahun.

Menurutnya, daripada 3,972 orang yang ditangkap itu, seramai 501 orang adalah tokan tegar dadah termasuk 12 orang warga asing, seramai 1,856 orang penagih dadah termasuk 54 warga asing, dua penjawat awam dan seorang pelajar sekolah menengah.

“Selain itu, seramai 205 orang daripadanya adalah individu sangat dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah, manakala 1,410 orang termasuk 74 warga asing dan empat penjawat awam ditangkap atas kesalahan lain,” ujarnya.

Katanya, mereka ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penyalahgunaan Dadah 1983 Seksyen 6, Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a), Seksyen 39 A (1), Seksyen 39A(2), Seksyen 39B, Seksyen 39C dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Hasil tangkapan ke atas kesemua suspek berjaya membawa pasukan kepada rampasan sebanyak 81.12 kilogram dan 1,433 liter pelbagai jenis dadah dan selaras senapang beserta 14 butir peluru hidup yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RMRM294,029.

“Kesemua dadah yang dirampas boleh dibekalkan untuk kegunaan seramai 78,014 orang penagih dadah,” ujar beliau.

Selain itu katanya, pasukannya turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (perlucuthakan Harta) 1988, yang mana JSJN telah menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM892,681.97 termasuk wang tunai dan barang kemas.

Kata Noorsiah, nilai keseluruhan menerusi rampasan dadah dan sitaan harta menerusi Ops Tapis Khas selama tiga hari itu bernilai RM1,186,710.97.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sepanjang Op Tapis Khas 1 hingga enam sejak Januari hingga September tahun ini, seramai 24,533 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

“Mengikut pecahan, daripada 24,533 orang suspek itu, seramai 12,595 orang adalah penagih dadah, 3,260 tokan dadah dan 1,135 lagi adalah individu dikehendaki berkaitan dadah.

“Tangkapan itu membawa kepada rampasan sejumlah 2,059.69 kilogram dan 3,963.32 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM16.215 juta oleh pasukan JSJN di seluruh negara.

“PDRM khususnya JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dan adalah besar harapan kami terhadap masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui talian hotline JSJN 012-208 7222,” katanya. – MalaysiaGazette