KUALA LUMPUR – Penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia dengan 18,515 kematian atau 17.0 peratus daripada kematian disahkan akibat penyakit tersebut.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak dua dekad yang lalu, beban penyakit jantung telah merekodkan peningkatan dari 11.6 peratus pada tahun 2000 ke 17.0 peratus pada tahun 2020.
Berdasarkan laporan The Direct Healthcare Cost of Non-communicable Diseases in Malaysia yang dikeluarkan baru-baru ini, dianggarkan sebanyak RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada tahun 2017 diperuntukkan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.
Lebih membimbangkan, beban kos ini dijangka terus meningkat sekiranya tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengawal dan mencegah penyakit tersebut.
Jelasnya, bukti saintifik menunjukkan penyakit diabetes, hipertensi, berat badan yang berlebihan serta tahap kolesterol yang tinggi menyumbang kepada penyakit kardiovaskular.
”Di samping itu, pemakanan dan amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam, stres dan pengambilan alkohol juga meningkatkan risiko penyakit jantung.
”Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar masyarakat cakna faktor-faktor risiko penyakit jantung agar pengesanan awal dapat dilakukan dan seterusnya dapat mengurangkan faktor risiko serangan jantung,” katanya dalam perutusan sempena Hari Jantung Sedunia setiap 29 September.
Noor Hisham menambah, serangan jantung boleh berlaku secara tiba-tiba pada bila-bila masa dan kepada sesiapa sahaja.
Oleh itu, pesakit dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera sekiranya terdapat tanda-tanda awal serangan jantung terutamanya pada jam pertama selepas serangan (golden hour) kerana tindakan awal ini akan mengurangkan komplikasi kekal kepada jantung pada tahap yang minimum.
Sempena sambutan Hari Jantung Sedunia pada tahun ini, KKM menyarankan kepada semua rakyat Malaysia untuk mengambil lapan langkah untuk menjaga kesihatan jantung.
Langkah-langkah itu ialah mkan secara sihat dan seimbang; lkukan aktiviti fizikal; kekalkan berat badan ideal; tidak menghisap rokok/vape; hindari pengambilan alkohol; melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala; mmatuhi rawatan yang ditetapkan; dan mngenal pasti tanda-tanda awal sakit jantung.
Sehubungan dengan itu, KKM menyeru kepada masyarakat agar merebut peluang untuk menjalani saringan kesihatan dengan memeriksa status BMI, tekanan darah, paras gula dan kolesterol dalam darah di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran.
”Rakyat Malaysia juga diseru agar berusaha menjalani gaya hidup yang sihat bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh, seterusnya menjadi inspirasi serta motivasi kepada keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling. Kesihatan kita, milik kita, tanggungjawab kita demi generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette