MCW akta pendanaan politik GLC komisen judi

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya tidak bersikap terlalu defensif dalam isu kes rasuah melibatkan penjawat awam di negeri itu yang agak membimbangkan.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pasti mempunyai asas dan fakta ketika mengeluarkan kenyataan itu.

Menurut badan berkenaan, pelbagai kes yang dilaporkan pasti sedang disiasat dengan teliti dan ada yang telah dan akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat.

“Hakikat bahawa rasuah di Malaysia termasuk di Pulau Pinang adalah seperti kanser yang sedang merebak adalah rahsia umum yang telah diketahui oleh segenap lapisan rakyat.

“Pelbagai kaedah pencegahan kelihatan kurang berkesan kerana ketamakan telah mengatasi prinsip kehidupan yang berintegriti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Azam dilaporkan berkata, situasi menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu di Pulau Pinang adalah pada tahap membimbangkan.

Beliau menyatakan, berdasarkan statistik SPRM, sebanyak 919 aduan diterima pihaknya berhubung kesalahan itu sejak 2019 hingga kini.

Hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta SPRM bersikap telus dalam mendedahkan jumlah kes yang dihadapkan ke mahkamah dan bilangan penjawat awam yang didapati bersalah.

Beliau berbuat demikian kerana tidak mahu imej penjawat awam dan kerajaan negeri Pulau Pinang tercemar hanya kerana jumlah aduan yang diterima sejak 2019

MCW menambah, kerajaan negeri Pulau Pinang sepatutnya mengatur pelbagai langkah bagi memastikan masalah rasuah dapat dicegah dengan segera daripada terus merebak di negeri tersebut.

Katanya, rasuah adalah masalah sejagat terutamanya di negeri yang maju kerana peruntukan atau jumlah perbelanjaan yang besar pasti akan membuka ruang dan peluang untuk berlakunya rasuah.

“Ekonomi yang berkembang pesat di Pulau Pinang adalah antara faktor penting yang mendorong rasuah yang semakin membimbangkan di negeri itu,” jelasnya.

MCW berharap agar SPRM meneruskan usaha yang agresif untuk membanteras rasuah di semua negeri demi memastikan masalah ini dikawal terutamanya dalam sektor awam.

“Segelintir penjawat awam kelihatan semakin berani melakukan rasuah akibat ketidakstabilan politik dewasa ini,” katanya. – MalaysiaGazette