KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang mencabar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki membuktikan rasuah dan salah guna kuasa di Pulau Pinang membimbangkan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Azam perlu mengemukakan fakta dan angka terhadap dakwaan yang dibuat.
“Tanpa mengira mana-mana negeri, kes-kes rasuah dan salah guna kuasa perlulah dihapuskan sekiranya ia sudah mencapai tahap “membimbangkan”.
“Adakah Azam Baki mempunyai fakta dan angka untuk membuktikan kenyataannya ini? Negeri manakah yang paling dan kurang korup dalam negara?” tanya Kit Siang.
Beberapa media semalam melaporkan kenyataan Azam bahawa gejala rasuah dan salah guna kuasa di Pulau Pinang pada tahap membimbangkan.
Kit Siang dalam kenyataan hari ini berkata, Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak sepatutnya membuat kenyataan tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana negeri tanpa menyatakan fakta dan angka.
“Berapakah angkanya di negeri-negeri lain di Malaysia dan apakah jangka masa yang diperkatakan Azam ini?
“Berapa ramaikah yang telah didakwa oleh SPRM di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di Pulau Pinang dan bagaimanakan angkanya di negeri-negeri lain?
“Tambahan lagi, adakah kes-kes ini berkaitan dengan kerajaan persekutuan atau negeri,” soal Kit Siang.
Tambah Kit Siang, perkara tersebut sepatutnya dibangkitkan apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKP) mengenai Agensi di Jabatan Perdana Menteri memanggil Azam untuk memberi penjelasan.
Menurut beliau terdapat sekurang-kurangnya enam perkara mengenai SPRM yang perlu diselesaikan oleh JPK.
“Perkara-perkara yang perlu diselesaikan oleh JPK ini termasuklah isu konflik kepentingan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, yang memiliki sejumlah besar saham korporat yang tidak diisytiharkan.
“Kenyataan Azam hampir dua bulan lepas yang SPRM akan mengumumkan dapat siasatannya terhadap kontrak enam buah kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion yang bermula beberapa tahun yang lepas tanpa ada apa-apa yang diumumkan sehingga kini,” kata Kit Siang.
Sebanyak 919 aduan diterima SPRM berhubung kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019 sehingga kini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, sebanyak 312 aduan melibatkan kes menerima suapan manakala salah guna kuasa (147 kes).
“Perkara itu membimbangkan kerana ia membabitkan salah guna kuasa seperti menggunakan jawatan untuk pemberian kontrak kerja kepada kaum keluarga atau individu yang mempunyai pertalian darah,” kata Azam dalam temu bual program Cakna Rasuah bersama radio Mutiara.fm, RTM Pulau Pinang.
Menurut Azam, turut banyak dilaporkan kepada SPRM membabitkan kesalahan membuat tuntutan palsu melibatkan sesuatu kerja yang dilaksanakan.- MalaysiaGazette