Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berucap di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York

SEPANG – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  telah mengotakan kata untuk mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa apabila menyuarakan pelbagai isu antarabangsa pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 dalam bahasa Melayu, kata tokoh bahasa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata Ismail Sabri bukan sahaja mengangkat bahasa Melayu di peringkat ASEAN bahkan ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu pertemuan diplomatik terbesar di peringkat dunia.

Pada UNGA yang menghimpunkan lebih 150 pemimpin dunia, Ismail Sabri menyampaikan Kenyataan Negara dalam bahasa Melayu – kali pertama oleh seorang pemimpin Malaysia berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan tahunan itu.

Semasa di UNGA, Ismail Sabri menyentuh pelbagai isu antarabangsa antaranya konflik di Ukraine, isu Myanmar dan Palestin serta sekuriti makanan dan perubahan iklim.

“Alhamdulillah, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengulangi sejarah kegemilangan bahasa Melayu sesudah kita menunggu 65 tahun sesudah kemerdekaan dan sejak Malaysia atau Tanah Melayu menjadi anggota PBB,” kata Awang Sariyan.

Pada zaman lampau, beliau berkata bahasa Melayu diiktiraf di seluruh dunia dan buktinya masih terdapat banyak warkah atau surat serta perjanjian perdagangan dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi, yang membuktikan bahasa Melayu diterima oleh Belanda, Sepanyol, Portugal, Inggeris, Parsi, Arab dan India.

“Bahasa Inggeris penting tapi bahasa negara itu lebih penting kerana itu soal perpaduan, jati diri kita dan kebanggaan kita,” kata Awang Sariyan yang mempunyai pengalaman bertugas di luar negara seperti di China dan Jerman, yang mementingkan bahasa negara masing-masing.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Selangor Datuk Mohd Imran Tamrin berkata di UNGA, Ismail Sabri membuat penampilan yang membawa mesej yang sangat jelas dan identiti Malaysia dengan mengenakan berpakaian kebangsaan serta menyampaikan ucapan tersebut dalam bahasa Melayu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana membawa suara rakyat Malaysia secara konsisten dalam isu Palestin, ketegangan Palestin dan Israel.

Bagi penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, Balqis Amal, beliau menyifatkan ucapan penuh Perdana Menteri dalam bahasa Melayu adalah satu kebanggaan dan jelas membawa mesej bahasa Melayu mampu ke pentas dunia.

“Jangan kita lupakan bahasa Melayu juga merupakan sebagai bahasa terbesar di Malaysia dan menjadi bahasa kebanggaan kita untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA