KUANTAN – Misteri kehilangan rakan kepada seorang pemuda yang tersesat di Gunung Senyum, Kuala Krau semalam masih menjadi tanda tanya.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, lelaki bernama Muhammad Hafis Ahmad, 29, telah membuat panggilan memaklumkan dia dan rakannya tersesat di dalam hutan tersebut.
Sejurus menerima maklumat, 26 orang pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Perhutanan serta orang awam digerakkan ke lokasi.
“Mangsa berjaya ditemui bersendirian kira-kira pukul 8 malam dan mengalami cedera ringan di kaki serta dalam keadaan keletihan.
Ketika ditanya mengenai rakan dia, mangsa menjelaskan dia terpaksa meninggalkannya kerana mahu mencari bantuan.
Namun, hasil siasatan awal pasukan SAR mendapati maklumat mengenai rakan mangsa yang dikatakan masih sesat itu agak mencurigakan.
Bukan sahaja rakannya itu gagal dijumpai, malah individu berkenaan juga dipercayai tidak wujud.
Mohd Azhar berkata, siasatan terhadap mangsa mendapati dia pernah mengalami gangguan mental dan menerima rawatan lapan tahun lalu di Kelantan.
Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan buat sementara waktu bagi siasatan lanjut.
Mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Krau untuk menerima rawatan susulan.- MalaysiaGazette