Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan sebahagian guru-guru selepas Perhimpunan Khas Warga NUTP Seluruh Negara di Pusat Pameran dan. Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan berita gembira bagi guru besar dan guru penolong kanan hari ini.

Gred jawatan tersebut ditingkatkan sehingga ke gred maksimum DG54 yang akan memberi faedah secara langsung kepada 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seluruh negara,

“Guru besar gred DG48 (Khas Untuk Penyandang) juga tidak lagi akan diturunkan sebagai guru penolong kanan atau guru biasa di sekolah rendah apabila dinaikkan pangkat ke gred DG52 dan DG54 secara time based Berasaskan Kecemerlangan (TTBK).

“Pelaksanaan ini akan menaik taraf gred hakiki bagi jawatan guru besar dan guru penolong kanan serta membolehkan mereka yang telah dinaikkan pangkat ke gred lebih tinggi, kekal di jawatan itu sehingga gred DG54,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Perhimpunan Khas Warga NUTP Seluruh Negara di Pusat Pameran dan. Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2022.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Pendidikan juga sedang mengkaji struktur perjawatan guru besar dan guru penolong kanan sekolah rendah melalui cadangan Model Sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54.

Ini bagi memastikan kedudukan pentadbir sekolah sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan warga sekolah.

Berucap pada Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Ismail Sabri berkata, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) gred DG48 juga akan diberi peluang dilantik sebagai guru penolong kanan di sekolah rendah.

Dengan ini, guru penolong kanan di sekolah rendah tidak hanya terhad kepada gred DG44 sahaja.

Menurutnya, guru penolong kanan yang telah dinaikkan pangkat gred yang lebih tinggi juga akan kekal di jawatan itu sehingga gred DG54.

Ismail Sabri turut mengumumkan laluan kerjaya guru cemerlang di sekolah rendah juga diperluas sehingga ke gred DG52 dan DG54 memandangkan 90.68 peratus guru sekolah rendah telahpun berada di gred siswazah.

Sebahagian guru-guru yang bersorak semasa mendengar ucapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Khas Warga NUTP Seluruh Negara di Pusat Pameran dan. Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2022.

“Apa yang dicadangkan oleh Presiden NUTP akan segera saya bincang dengan pihak Kementerian Kewangan yang melibatkan sokongan. Dan dari segi perkara yang berkaitan dengan pentadbiran akan saya bincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara.

“Apa yang penting apa yang dicadangkan dapat direalisasikan insya-Allah.

“Terima kasih di atas sokongan dan sambutan ini. Banyak lagi sokongan-sokongan lain yang saya perlukan selepas ini,” kata Ismail Sabri sambil diiringi sorakan Hidup PM oleh hadirin.

Majlis tersebut merupakan perjumpaan pertama NUTP dengan Perdana Menteri sejak ditubuhkan kira-kira 50 tahun lalu.

Ia diadakan khas selepas Ismail Sabri memberikan reaksi segera terhadap beberapa permintaan NUTP sebelum ini.

Ini termasuk rayuan agar guru dengan gred Gred DG 41 hingga gred DG 54 dibenarkan menganggotai NUTP dan tambahan kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari
bagi mereka yang berkhidmat melebihi 10 tahun.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, sekolah di Sabah dan Sarawak akan diberi tumpuan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat depan.

Katanya, kerajaan juga menyedari terdapat lima juta murid di 10,250 sekolah memerlukan kemudahan ICT yang terkini, selaras dengan perkembangan teknologi semasa.-MalaysiaGazette