Gambar hiasan

RAMAI orang menyifatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah dipelajari. Hal demikian kerana, bahasa Melayu tidak mempunyai perubahan perkataan mengikut bilangan, jantina dan tiada tatabahasa waktu perbuatan. Walau bagaimanapun, rata-rata orang tidak perasan bahawa kesusahan kata ganti nama diri dalam bahasa Melayu. Menurut Zaitul Azma Zainon Hamzah (2012), “Kata ganti nama diri kelihatan sederhana dan mudah difahami, namun aspek penggunaannya boleh menjadi rumit dan kerap berlaku kesilapan akibat daripada penggunaan kata ganti nama diri yang salah atau kurang tepat”.

Menurut Nik Safiah, Farid, Hashim dan Abdul Hamid (2015) dalam makalahnya “Tatabahasa Dewan: Edisi Ketiga”, kata ganti nama diri terbahagi kepada dua iaitu kata ganti nama diri tanya dan kata ganti nama diri orang. Yang pertama adalah seperti “siapa”, “apa” dan “mana” manakala yang kedua adalah seperti “saya, “kamu” dan “dia”.

Di dalam bahasa Inggeris, terdapat enam kata ganti nama diri orang: I, You, He, She, We, They. Mengambil kira bahasa-bahasa Eropah yang lain, kita akan mendapati bahawa bahasa Perancis mempunyai lapan kata ganti nama diri orang, bahasa Itali tujuh, bahasa Catalan 10, bahasa bahasa Sepanyol 11 dan bahasa Portugis 14. Namun, sepertimana yang biasa didapati dalam bahasa-bahasa Latin ialah penambahan huruf “s” sahaja yang membezakan kata ganti nama diri ketiga tunggal dan jamak.

Bahasa Melayu mempunyai lebih daripada 15 kata ganti nama diri orang jika mengambil kira kesemua laras dalam bahasa ini. Selain itu, penggunaan bahasa Melayu mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka tidak sama seperti penggunaannya yang sebenar. Realitinya, kebanyakan penutur bahasa Melayu di Malaysia lebih banyak menggunakan kata ganti nama diri bahasa pasar. Sebagai contoh, “kita orang” dan “dia orang”.

Satu kajian oleh Zulkifley dan Naidatul (2013) mendapati bahawa, antara lain, pelajar Malaysia bukan Melayu telah menggunakan kata ganti nama diri yang tidak tepat berdasarkan konteks penggunaannya. Kajian tersebut juga mengetengahkan penggunaan kata gelaran – menggantikan kata ganti nama diri – sebagai kata yang lebih tepat dalam salah satu situasi ujaran kajian tersebut. Natijahnya, hal ini sudah tentu akan merumitkan para penuntut asing yang ingin memulakan pembelajaran bahasa Melayu. Ini kerana, apa yang mereka pelajari di dalam kelas tidak selari dengan realiti yang mereka hadapi di luar bilik darjah.

Sebagai contoh, seorang pelajar asing telah diajar bahawa “kamu” ialah kata ganti nama diri orang kedua. Namun, apabila berada di sebuah restoran di Malaysia, pelajar tersebut ditanya oleh pelayan restoran dengan ujaran berikut: Abang mahu makan apa? Di sini, kata ganti nama diri “kamu” telah diambil alih oleh kata nama am “abang” yang menggalas tugas kata ganti nama diri. Contoh seperti ini memberikan kata gelaran yang selalunya diajar, di dalam kelas, bukan sebagai pengganti kata ganti nama diri orang.

Dalam situasi seperti ini, hanya gaya badan dan tanda saran mengikut konteks sahaja yang membolehkan pelajar tersebut memahami ujaran tersebut. Ini menunjukkan wujudnya ketidakselarasan antara apa yang diajar di dalam kelas dan apa yang diujarkan oleh penutur-penutur jati bahasa Melayu. Umum mengetahui antara tujuan mempelajari satu-satu bahasa adalah supaya boleh berkomunikasi secara selesa dengan penutur-penutur bahasa tersebut. Akhir kalam, penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat mencerminkan rasa kebanggaan, jati diri dan semangat kenegaraan seseorang. Sehubungan itu, penting untuk kita mengambil tahu peri dan mengenali bahasa kebangsaan, serta aspek mudah dan susahnya bahasa ini.

Oleh: Fazeera Jaafar
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) &

 

 

Muhammad Usamah Mohd Ridzuan
Pensyarah
Akademi Pengajian Bahasa,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast