KUANTAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan penyertaan 100,000 penyertaan dalam Program 1,000 Liga iaitu penganjuran acara sukan perseorangan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, program ini untuk semua lapisan dan peringkat akar umbi termasuk di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Program julung kali itu sedang rancak berjalan di seluruh negara sejak Ogos lalu dan dijangka berakhir pada penghujung tahun ini.
Tambahnya, sehingga kini, dianggarkan kira-kira 30,000 individu telah menyertai program tersebut.
Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah pingpong, badminton, tenpin boling, catur dan skuasy dan sukan pilihan lain.
“Program ini melibatkan 854 liga di peringkat daerah, 120 liga di peringkat negeri dan 26 liga di peringkat kebangsaan. Keseluruhannya ada 1,000 Liga,” katanya selepas menghadiri pelancaran Program 1,000 Liga di pekarangan Stadium Darul Makmur, di sini hari ini.
Terdahulu beliau berkata, dapatan Indeks Budaya Sukan Negara menunjukkan hanya 52 peratus rakyat di negara ini yang terlibat dalam aktiviti kesukanan.
Katanya, data itu membuktikan tahap keterlibatan rakyat di semua peringkat dalam aktiviti sukan masih sederhana.
Oleh itu penganjuran program liga tersebut dapat membantu KBS mencapai sasaran indeks 75 peratus iaitu tahap memuaskan bagi penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan.
Menurut beliau, program 1,000 Liga dijalankan dengan konsep ‘intramural sports based’ melalui gerakan pertandingan sukan dalam komuniti setempat.
“KBS akan berganding bahu dengan persatuan-persatuan sukan setempat bagi memastikan usaha pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat lebih efektif,” tambah Lian Ker.
Beliau turut menegaskan menjadi tanggungjawab KB memperkasakan program dan aktiviti sukan untuk semua. -MalaysiaGazette