KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menjalinkan kerjasama dengan pusat beli-belah Aeon Co. (M) Berhad bagi meraikan kepelbagaian masyarakat majmuk di negara ini.
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, Aeon dipilih kerana pasar raya itu memiliki pelanggan tetap dan ia memudahkan usaha mempromosi aspirasi Keluarga Malaysia bagi pengunjung yang hadir.
“Aeon sudah ada pelanggan mereka jadi setiap program kementerian lebih mudah disampaikan. Di pasar raya tidak mengenal kira golongan B40, M40 dan sebagainya kerana semua berkunjung tanpa lapisan,” katanya selepas merasmikan Program Galeri Uniti, di sini hari ini.
Program Galeri Uniti adalah usaha penyatuan Keluarga Malaysia untuk rakyat menghargai kepelbagaian budaya, seni dan adat resam bagi menghayati nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Jelas Halimah yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, usaha tersebut memerlukan sokongan pihak swasta sebagai rakan strategik bagi memastikan setiap program yang dianjur mencapai matlamat ditetapkan.
Halimah berharap pelbagai program yang dalam perancangan kementeriannya dapat diteruskan agar integrasi perpaduan kekal subur walaupun negara berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Program Galeri Uniti dilaksanakan di sembilan cawangan terpilih Aeon selama 10 hari sehingga 9 Oktober ini dengan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk cita rasa menu pelbagai kaum dan busana etnik Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette